MADINAH: Mendapat peluang untuk menunaikan ibadah haji selepas bertahun-tahun menabung dan menunggu tentunya tidak akan dilepaskan begitu sahaja sehingga ada jemaah yang merahsiakan penyakit yang dihidapi kerana tidak sanggup terlepas peluang tersebut.
Bagaimanapun, setibanya di Tanah Suci, ada jemaah yang menangis apabila diserang penyakit mereka itu dan meluahkan rasa kesal kepada petugas perubatan kerana menyembunyikan maklumat kesihatan mereka.
Pakar Kecemasan Madinah, Dr. Nor A’isyah Adny Mohd. Adnan berkata, itu antara pengalaman beliau sepanjang berkhidmat kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
MENANGIS
“Ada kes di mana jemaah wanita menangis kerana dia tidak memberitahu kepada doktor di Malaysia yang dia mempunyai asma. Tetapi apabila tiba di Mekah, dia semput dan ubat tidak pula dibawa.
“Jadi, kita bekalkan dia ubat yang ada dan ketika itulah dia menangis dan menyesal kerana menyembunyikan penyakit itu kerana bimbang dihalang untuk mengerjakan haji,” katanya.
Beliau berkata, kes jemaah hampir pengsan akibat strok haba dan sakit jantung ketika berada di Arafah pula antara kejadian cemas yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di Tanah Suci.
Menceritakan kejadian itu kepada Utusan Malaysia, Dr. Nor A’isyah Adny berkata, ketika itu dia sedang bertugas bersama rakan sepasukan dan berkumpul untuk wukuf pada musim haji tahun lalu.
Katanya, tanpa disangka seorang jemaah lelaki warga emas tiba-tiba terjatuh akibat sesak nafas disebabkan paru-paru berair.
“Keadaan menjadi cemas apabila pesakit hampir pengsan dan memerlukan bantuan oksigen. Selepas memberi bantuan awal, dia kemudian dikejarkan ke Hospital Arab Saudi di Arafah.
SEJARAH
“Pesakit ada sejarah penyakit buah pinggang dan kejadian berlaku apabila dia tidak mengawal air dalam badan dengan meminum minuman yang banyak hingga menjejaskan fungsi organ tersebut,” katanya yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sibu, Sarawak.
Nor A’isyah Adny yang sudah dua kali menjadi petugas TH menambah, pesakit bernasib baik kerana masih dikira berwukuf kerana hospital tersebut terletak dalam kawasan Arafah dan dapat melengkapkan rukun haji yang lain selepas dibenarkan keluar hospital.
Katanya, ada juga kes pesakit terkena serangan jantung hingga berlaku suasana cemas seketika dalam kalangan jemaah, doktor dan jururawat.
“Ketika itu saya dan rakan perubatan lain agak cemas tetapi dapat dikawal kerana perkara yang sama biasa berlaku di Malaysia cuma suasana berbeza iaitu bekerja dalam suhu panas.
“Kami membantu jemaah yang mendapatkan rawatan dengan pasukan TH tetapi jika terlalu teruk, mereka akan dibawa ke hospital Arab. Selalunya keadaan dapat dikawal kerana kami bekerja secara berkumpulan dan diketuai pakar,” katanya.
Ujar Nor A’isyah, sebagai doktor, beliau cuba sedaya upaya menasihati pesakit serta cuba menggembirakannya supaya dia tidak lemah semangat dan emosinya kembali stabil.
Anak kelahiran Besut, Terengganu itu memberitahu, dia berbesar hati dapat berkhidmat untuk duyufurrahman dan bersedia untuk ke sini lagi sekiranya diperlukan pada masa akan datang.
Sementara itu, seorang jururawat, Wan Kasmaniza Wan Nawi, 42, berkata, dia nekad meninggalkan tiga anaknya untuk dijaga suami sebaik mengetahui permohonannya untuk menjadi petugas TH bahagian perubatan diterima tahun ini.
“Saya belum ada pengalaman tetapi berdasarkan kepada kursus pengukuhan yang disertai saya dapat bayangkan betapa tugas ini penuh dengan cabaran tetapi seronok.
“Seronok sebab dapat berkhidmat kepada duyufurrahman dan pada masa sama boleh menunaikan haji,” katanya. – UTUSAN










