Aiman Tino diganggu peminat fanatik

Aiman Tino diganggu peminat fanatik

AIMAN Tino melangsungkan perkahwinan dengan Che Syarah Haifa Che Isa, baru-baru ini. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bimbang keselamatan terancam, ibu Aiman Tino, Hazelina Mat Jalil, membuat satu laporan polis berhubung seorang wanita yang telah mengganggu penyanyi tersebut dan keluarga sejak setahun yang lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hazelina berkata, laporan polis itu dibuat setelah wanita yang dikenali sebagai Siti Syakila itu bertindak melampau dengan mengugut untuk membunuh diri selain berkelakuan semakin pelik.

“Bukan sahaja Aiman, tetapi saya, suami serta anak perempuan saya, Fara Hazel turut diganggu dengan pelbagai mesej merepek daripada wanita berusia 21 tahun tersebut yang tidak saya ketahui siapa sebenarnya dia.

“Pada awalnya, saya anggap dia cuma seorang peminat yang memang mengidolakan Aiman. Tetapi semakin lama, kelakuannya semakin pelik dan dia mengganggu tanpa mengira masa, pukul 5 pagi pun dia hantar mesej bukan-bukan.

“Terbaharu, dia mesej mahu ugut bunuh diri dan rela jadi isteri kedua Aiman sedangkan dia tahu anak saya itu baru saja mendirikan rumah tangga minggu lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Terdahulu, Hazelina pada pukul 12 tengah hari semalam telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Kubu Bharu,Selangor mengenai kejadian selain mengakui turut membawa beberapa bukti bersama.

Selain itu, jelas Hazelina, dia dan Aiman bimbang sekiranya kejadian yang tidak diingini itu berlaku dan mengaitkan keluarganya.

Kongsi Hazelina lagi, latar belakang wanita tersebut juga masih lagi kekal misteri sehingga kini meskipun pernah bersemuka dengannya dalam satu pertemuan yang diatur bersama Aiman sebelum ini.

“Oleh kerana dia terlalu kerap mesej mahu bertemu dengan Aiman, maka satu pertemuan telah saya atur sebelum ini. Saya anggap ini satu kerenah biasa dari peminat, tetapi tak sangka pula semakin lama dia berkelakuan pelik.

“Menurut kelab peminat Aiman, mereka juga telah lama mengeluarkan wanita tersebut daripada aplikasi Whatsapp group disebabkan kelakuannya yang terlalu pelik. Kesimpulannya, sama ada dia waras atau tidak, kami pun tidak tahu,”katanya.

Dalam pada itu, kata Hazelina lagi, dia berharap perkara yang berlaku ini sampai ke pengetahuan keluarga peminat terbabit dan menasihatkan individu tersebut untuk tidak mengulangi perbuatannya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×