PETALING JAYA: Terdapat juga kalangan calon jemaah haji kategori M40 yang turut menolak tawaran mengerjakan ibadah tersebut tahun ini kerana tidak mampu menanggung kos tambahan yang perlu dibayar.
Seorang calon jemaah haji yang dihubungi Utusan Malaysia semalam berkata, dia sudah berunding dengan pihak Tabung Haji (TH) untuk menunda ibadah tersebut ke tahun depan dan sudah mendapat kelulusan TH.
“Saya sebagai M40 tolak kerana kerana tahun ini TH mula mengkategorikan penerima subsidi berdasarkan kategori T20, M40 dan B40. Bila mereka buat macam itu, kalau B40 kos haji mereka RM10,980, M40 berjumlah RM15,980 manakala T20 berjumlah RM30,850.
“Bila kos itu naik, sedangkan bajet asal kita sudah ditetapkan dalam jumlah tertentu, itu yang jadi tidak cukup. Contoh, kita sudah bajet RM10,000 dan tambah tolak perbelanjaan lain katakan RM5,000 tetapi tiba-tiba, kos Tabung Haji naik sampai RM16,000, itu yang tidak cukup,” katanya enggan namanya didedahkan.
Katanya, hal ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini apabila jemaah hanya perlu membayar jumlah yang sama untuk semua orang.
“Isunya ialah mereka tak beritahu sejak awal bahawa kos sekian-sekian banyak sedangkan dalam fikiran kita sudah set semua orang sama, semua kos itu sama rata. Tahun lepas, mana ada dikategorikan.
“Tahun depan saya tetap akan pergi menunaikan ibadah itu.
“Sebab kita sudah tahu berapa kosnya jadi kita boleh membuat persediaan menyimpan wang,” katanya. – UTUSAN










