SHAH ALAM: Seorang pesara guru nyaris terlepas peluang mengerjakan ibadah haji selepas menyangka makluman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai tawaran tersebut disangka sebagai cubaan penipuan (scammer).
Bagaimanapun, Fatimah Hussain, 69, yang berasal dari Kampung Kenangan, Rawang berkata, dia kemudian memberitahu anak-anaknya berhubung mesej tersebut sebelum diminta membuat semakan dengan Lembaga Tabung Haji menerusi aplikasinya, THiJARI.
“Saya sangka scammer sebab pesanan tersebut diperoleh selepas waktu bekerja baru-baru ini dan ketika itu sedang bersiap untuk menunaikan solat maghrib. Saya sekadar baca kemudian terus solat.
“Selepas itu, saya ada bercakap dengan anak-anak tentang mesej tersebut dan mereka meminta saya membuat semakan dengan Tabung Haji. Rupa-rupanya berita tersebut benar, saya benar-benar terkejut, kalau tak semak mungkin saya sudah terlepas giliran tunaikan haji,” katanya ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Fatimah amat teruja kerana sebelum ini pernah mengemukakan rayuan sehingga lima kali untuk menunaikan haji berikutan umurnya yang sudah pun menjangkau usia emas dan bimbang tidak berpeluang pada tahun-tahun akan datang.
“Suami saya pun sudah lama meninggal dan saya akan pergi bersama anak sulung, Mohd. Khairul Ridzuan Roslan untuk mengerjakan haji nanti. Harapan saya, kudrat saya mampu menyempurnakan segala ibadah termasuk melakukan badal haji untuk arwah suami,”ujarnya.
Fatimah juga sentiasa berdoa agar kesihatan dirinya terus terpelihara tanpa perlu mengupah orang lain untuk melakukan badal haji untuknya.
Sementara itu, anaknya, Mohd. Khairul Ridzuan, 42, amat bersyukur kerana rayuan untuk menunaikan haji bersama ibunya diterima.
“Saya juga berharap dapat menyempurnakan ibadah haji. Semoga saya dan ibu mendapat haji yang mabrur, Insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN










