JEMPOL: Bagi kebanyakan penduduk di Felda Palong 7 di sini akan mengenali cikgu Zalina Ismail yang memberikan didikan lebih 30 tahun kepada anak-anak di tanah rancangan itu.
Istimewanya Zalina, 56, bagi anak-anak di situ, sejak mula bergelar seorang pendidik pada tahun 1992, dia kekal mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Felda) Palong 7 sehinggalah bersara secara rasmi semalam.
Zalina dengan jawatan terakhir Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah itu berkata, beliau bersyukur ditempatkan di sekolah berkenaan apatah lagi rumah keluarganya juga jauh dan hanya terletak di Felda Palong 3.
“Sejak itu saya mula menyimpan hasrat untuk memastikan anak-anak peneroka seperti saya mampu menguasai mata pelajaran matematik tambahan yang saya ajari.
“Saya pernah menolak tawaran untuk berpindah ke sekolah lain kerana memikirkan anak-anak murid saya di sekolah ini. Mereka semua sudah seperti satu tanggungjawab buat saya, Alhamdulillah, Tuhan memberikan izin untuk saya terus mengajar di sini sehingga bersara malah ada anak murid yang sudah menjadi rakan sekerja saya di sekolah ini,” katanya pada majlis persaraannya di sekolah tersebut semalam.
Turut hadir, Pengetua SMK (Felda) Palong 7, Janab Baharudin.
Sementara itu, seorang guru mata pelajaran sains yang juga bekas anak murid Zalina iaitu Nor Rafiah Hussin, 34, berkata, gurunya itu seorang yang tegas semasa mengajar namun penyayang kepada anak-anak muridnya.
“Di sebalik sikap tegasnya, beliau adalah seorang yang sangat penyayang serta sanggup memberikan kelas tambahan secara percuma kepada anak-anak muridnya.
“Anak-anak Felda seperti kami memang bergantung sepenuhnya kepada guru-guru kerana kami sukar untuk ke bandar bagi menyertai kelas tambahan berbayar.
“Alhamdulillah, ramai yang dapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran matematik tambahan,” ceritanya. – UTUSAN










