Ujian 3M di tahun empat kesan murid tercicir - Utusan Malaysia

Ujian 3M di tahun empat kesan murid tercicir

Lakukan ujian 3M untuk kesan murid tercicir menguasai kemahiran asas.- MINGGUAN /PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu melakukan ujian pengesanan 3M bagi semua murid tahun empat bagi mengesan penguasaan mereka dalam kemahiran asas membaca, mengira dan menulis.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, langkah tersebut bukan untuk melihat sejauh mana pencapaian akademik murid-murid, sebaliknya untuk mengukur penguasaan 3M sebelum melangkah jauh ke peringkat seterusnya.

Menurut beliau, menerusi ujian itu guru-guru dapat mengambil langkah intervensi dan pengukuhan membaca, mengira dan menulis kepada murid yang belum menguasai kemahiran asas itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masalah penguasaan 3M satu perkara serius. Jadi saya sarankan ujian pengesanan 3M supaya kita dapat mengetahui tahap penguasaan kemahiran itu di peringkat awal.

“Ia bukan tujuan kejar ran­king dan bukan cari siapa pandai, tetapi untuk mengetahui murid mampu menguasai 3M atau belum. Bukan ada markah tetapi untuk ketahui murid dapat membaca, mengira dan menulis atau sebaliknya,” katanya.

KEMAHIRAN

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 269,332 murid sekolah di seluruh negara belum mampu menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.

Angka itu berdasarkan jawapan lisan Kementerian Pendidikan di Dewan Negara baru-baru ini yang memaklumkan, 6.03 peratus atau 117,656 daripada 1,948,975 murid di seluruh negara belum menguasai tahap penguasaan (TP) minimum iaitu TP1 dan TP2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Bagi Matematik pula, seba­nyak 6.08 peratus atau 151,676 murid daripada 2,493,481 orang masih belum mencapai TP minimum.

Anuar berkata, langkah ujian pengesanan 3M dapat menjadikan usaha pengukuhan membaca, mengi­ra dan menulis lebih strategik dan berfokus kepada kala­ngan murid yang memerlukan pemulihan kemahiran asas di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan seperti Program Bantu Baca, Program Pemulihan Khas, Program Literasi dan Numerasi (Plan).

Kata beliau, penguasaan 3M perlu diselesaikan sebelum murid-murid melangkah masuk ke tahun lima dan peringkat sekolah menengah kerana perkara itu penting dalam pencapai­an akademik dan masa depan gene­rasi negara ini.

“Kita memerlukan satu data berfokus menerusi ujian pengesanan ini, agar tidak mahu kita terlepas pandang dan tiada murid belum kuasai asas membaca, mengira dan menulis ketika peringkat dewasa,” katanya.

Kata Anuar, penguasaan 3M di negara ini pada mula agak baik namun merosot pada awal pandemik Covid-19 yang me­nyaksikan semua sekolah ditutup dan murid tidak berpeluang mengikuti pembelajaran de­ngan baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×