KUALA LUMPUR: Agensi-agensi pelancongan diminta untuk tidak membuat pembatalan atau penangguhan pakej umrah secara mengejut dengan mengemukakan pelbagai alasan yang tidak sepatutnya.
Pengarah Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Ida Riswana Idris berkata, tindakan membatalkan pakej umrah Ramadan di saat akhir menimbulkan keresahan kepada orang ramai terutamanya jemaah yang belum terbang lagi.
Katanya, jemaah Andalusia tidak terkecuali dan dianggarkan hampir 6,000 orang masih belum berlepas ke Tanah Suci termasuk jemaah bulan Syawal.
BATAL
Menurutnya, apabila agensi lain membatalkan pakej mereka, bakal jemaah mula merasa ragu-ragu kerana berita mengenai tindakan tersebut hangat diperkatakan.
“Mereka mula berfikir sama ada mereka juga perlu membatalkan atau menangguhkan dahulu hasrat beribadat di Mekah dalam bulan Ramadan dan Syawal.
“Sekiranya berita yang sedang tular ini berterusan, ia boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada Andalusia dan syarikat lain bahkan ianya boleh mencetuskan keresahan dan keraguan kepada bakal jemaah umrah untuk meneruskan ibadat mereka.
“Sekiranya kes penangguhan atau pembatalan oleh agensi pelancongan boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya dan tidak ditangani segera oleh pihak berkuasa, dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa kesan dari sudut ekonomi serta psikologi umat Islam di Malaysia,” katanya di ibu pejabat Andalusia di Kampung Pandan, semalam.
Terdahulu, media melaporkan, terdapat beberapa bakal jemaah yang mendakwa diri mereka diperdaya apabila syarikat pengendali membuat pembatalan secara mengejut sehingga memusnahkan impian mereka untuk beribadah di Masjidil Haram.
KONTRAK
Ida Riswana berkata, dakwaan sesetengah agensi pelancongan bahawa pembatalan kontrak hotel adalah berpunca daripada ‘ketamakan’ pihak hotel di Arab Saudi boleh mengakibatkan salah faham terhadap pengelola umrah Malaysia.
Jelasnya, perkara sedemikian tidak akan berlaku sekiranya agensi itu membuat tempahan awal musim dan menandatangani kontrak sah dengan pihak pengurusan hotel iaitu bukan melalui orang tengah atau pihak ketiga.
Sekiranya agensi mengamalkan permohonan visa umrah bagi jemaah masing-masing, isu tiada bilik hotel tidak mungkin timbul kerana setiap visa umrah yang dimohon perlu mempunyai pengesahan pembayaran hotel yang sah sebelum visa tersebut diluluskan,” katanya.
Tambahnya, situasi pembatalan di saat akhir yang dibimbangkan oleh bakal jemaah ketika ini tidak berlaku di Andalusia kerana mereka sentiasa membuat perancangan awal dan kontrak secara terus dengan pengurusan perkhidmatan di Arab Saudi.
“Andalusia buat tempahan tiket penerbangan awal musim dan tandatangan perjanjian sebelum permulaan musim umrah, jumlah yang cukup mengikut perancangan semusim dan hanya menjual pakej mengikut Tarikh terkandung mengikut hotel tempahan yang ditempah.
Selain itu, membuat kontrak secara terus dengan pengurusan tertinggi hotel mengikut perancangan setahun dan membuat costing yang tepat mengikut tiket serta penginapan, baru kami membuat penjualan.
“Pengurusan kewangan juga teratur dan amanah kerana wang yang diterima melalui pembayaran pakej oleh jemaah adalah diuruskan sebagai wang Amanah jemaah bagi pembelian tiket, hotel, visa dan semua komponen dijanjikan oleh Andalusia semasa penjualan pakej,” jelasnya. – UTUSAN










