Nahas Double Six bukan sabotaj

Nahas Double Six bukan sabotaj

Pasukan penyiasat memeriksa serpihan pesawat dalam tragedi Double Six yang terhempas ketika dalam penerbangan ke Kota Kinabalu pada 6 Jun 1976.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemalangan udara pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Fuad Stephens dan 10 yang lain bukan berpunca akibat sabotaj, kebakaran mahupun letupan.

Kesimpulan tersebut dicapai pasukan penyiasatan nahas dan ditulis dalam laporan akhir disediakan Ketua Inspektor Kemalangan Jabatan Penerba­ngan Awam, Omar Saman pada 25 Januari 1977.

Laporan tragedi yang di­nyahklasifikasi semalam iaitu selepas 46 tahun berlaku, se­perti dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

Mengikut laporan tragedi, punca utama pesawat tersebut terhempas adalah kerana juruterbang hilang kawalan semasa proses untuk mendarat dan disebabkan kedudukan pusat graviti pesawat ketika itu terlalu rendah daripada had yang dibenarkan.

Sebelum penerbangan, pesawat tersebut diselenggara mengikut jadual, mematuhi had muatan dan juruterbang mempunyai lesen yang sah untuk menerbangkan pesawat itu.
Malah, tiada bukti wujud kecacatan sebelum nahas atau fungsi pesawat, enjin atau per­khidmatannya pincang.

Bagaimanapun, pasukan penyiasatan mendapati prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional.

MANUAL

Antaranya, pelan penerba­ngan tidak disediakan seperti dikehendaki manual operasi me­libatkan orang-orang kenamaan, angka jumlah minyak tidak dimasukkan dalam buku log teknikal dan seksyen kecacatan pesawat tidak diluluskan mengikut garis panduan yang disarankan.

Pasukan penyiasatan me­ngutarakan tiga cadangan, iaitu mana-mana operator yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam mesti mempunyai kelulusan yang diperlukan untuk menggunakan jenis pesawat baharu sebelum memulakan operasi.

“Penerbangan di Sabah harus dihadkan kepada operasi pesawat dan helikopter di bawah 6,000 paun berat maksimum sehingga prosedur operasi dan kejuruteraan syarikat bersama-sama dengan kakitangan pe­ngurusan telah ditambah baik sehingga Jabatan Penerbangan Awam berpuas hati.

“Pekeliling Maklumat Aeronautik perlu dikeluarkan kepada semua juruterbang dan pengendali yang menekankan kepenti­ngan mematuhi prosedur muatan, bahan api, kecacatan, cuaca dan prosedur penerimaan sebelum menjalani sebarang penerbangan,” katanya.

PUNCA

Laporan yang boleh ditatap secara umum itu sekali gus me­rungkai punca pesawat terhem­pas yang meragut nyawa Tun Fuad yang ketika itu baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ia mengetepikan segala andaian dan prasangka buruk me­ngenai tuduhan konspirasi politik dalam kejadian nahas pesawat berkenaan serta menegakkan keadilan bagi keluarga mangsa nahas pesawat tersebut.

Lebih 40 tahun lalu, negara digemparkan dengan berita pesawat Sabah Air terhempas yang dinaiki Tun Fuad ketika dalam perjalanan pulang dari Labuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bersama 10 individu lain.

Susulan itu, pengeluar pesawat tersebut, GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas berlaku bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

Siasatan selesai dalam tempoh empat bulan kemudian, namun laporan pasukan penyiasatan tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN