PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa kini dilihat semakin terpencil ekoran kemelut politik sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kredibiliti Malaysia di negara luar turut terjejas ekoran skandal rasuah membabitkan beberapa pemimpin sehingga menyebabkan tidak dihormati.
Justeru, katanya, Malaysia perlu memastikan kestabilan politik dan ekonomi serta sosial bagi memastikan negara terus dihormati dan disegani di peringkat global.
PERANAN
“Itu belum lagi pertukaran tiga pemimpin dalam tempoh singkat. Jadi, siapa hendak percaya kita dalam suasana begitu. Mahu memainkan peranan di peringkat antarabangsa nanti akan ada orang pertikaikan kredibiliti negara dan pemimpin kita.
“Harus diingat, kalau mahu memainkan peranan besar dalam polisi antarabangsa, kita tidak boleh terpenjara dengan keadaan dalaman kita sahaja. Penting untuk kita mempunyai ‘iklim’ politik, ekonomi dan sosial yang stabil.
Tunjuk kewibawaan pemimpin, bukannya kemelut politik,” katanya baru-baru ini.
Tambah Syed Hamid, Malaysia hakikatnya mempunyai potensi menjadi pemain politik di rantau Asia Tenggara menerusi rekod yang baik sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, ia sukar dicapai ekoran persepsi negatif negara luar terhadap Malaysia ekoran masalah politik.
“Dua perkara sedang menghantui Malaysia pada masa sekarang. Cakap-cakap yang mahu menukar kerajaan. Siapa yang mahu dijatuhkan dan siapa yang mahu dinaikkan.
“Sepatutnya, kita perlu tunjukkan kita berada di landasan betul bukannya tembak sesama sendiri sehingga akhirnya terkena kaki sendiri. Kerajaan perlu dilihat sibuk untuk menguruskan negara bukan sibuk uruskan politik,” jelasnya.
KURANG EFEKTIF
Mengenai pertikaian di Laut China Selatan, Syed Hamid berkata, ASEAN yang dianggotai 10 negara dilihat kurang efektif dalam membantu menyelesaikan pertikaian di perairan tersebut ekoran sukar mencapai kata sepakat.
Katanya, sehingga kini, ASEAN tiada pendirian bersama dan mempunyai kepentingan berbeza dalam isu tersebut.
Malah, katanya, ASEAN lebih dilihat sebagai pentas persaingan kuasa membabitkan negara gabungan sehingga sukar untuk mengetengahkan agenda tersebut di peringkat gabungan itu.
“ASEAN sepanjang masa menghadapi cabaran kerana banyak isu tuntutan bertindih, isu sempadan darat dan udara,” katanya.
Wilayah di Laut China Selatan menjadi tuntutan enam negara, selain membabitkan isu tuntutan, wilayah pertikaian itu sering kali menjadi kawasan ‘panas’ membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China selepas kedua-dua negara tersebut saling melakukan provokasi.
Tambah Syed Hamid berkata, peranan ASEAN perlu dilihat semula dan dikemas kini serta mesti mempunyai kepentingan bersama dalam memastikan isu terbabit dapat diselesaikan.
“Sekarang negara ASEAN juga menjadi pentas persaingan kuasa besar. Peranannya perlu dilihat semula dikemas kini serta mesti mempunyai kepentingan bersama,” jelasnya. – UTUSAN










