PETALING JAYA: Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar dan insentif tertentu dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi meningkatkan purata hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini hanya sekitar 11.5 peratus.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelaksanaan GST juga akan dapat menarik minat pelabur asing ke negara ini.
Katanya, apabila ada GST, cukai input dan output dapat dibayar dan dikutip dengan secepat mungkin serta efisien, sekaligus menyebabkan aliran tunai syarikat menjadi lebih baik kerana syarikat mendapat semula cukai input.
Johari berkata, dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh memberi insentif cukai kepada pelabur asing tetapi dengan syarat-syarat tertentu.
“Sebagai contoh, kita boleh beri 10 tahun pengecualian cukai selepas menjana keuntungan RM500 ke RM600 juta. Tidak mengapa. Tapi dia mesti memenuhi syarat yang kita tetapkan seperti menggaji kakitangan utama dengan pendapatan sebanyak RM10,000 ke atas?
“Kemudian adakah dia mahu mengambil pekerja tempatan bekerja? Kalau 50-50 nisbah pekerja asing dan tempatan pun, kadar gaji perlu berbeza kerana orang tempatan tidak boleh menerima gaji yang terlalu rendah. Inilah syarat yang kita boleh berikan dan mesti ada timbal balik dengan keuntungan kepada masyarakat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru -baru ini.
Mengenai pembiayaan peribadi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata, langkah kerajaan terdahulu yang disifatkan sebagai satu kesilapan menyebabkan pelaksanaan tersebut dibuat.
“Silap kita, sebab, pertama mengapa duit KWSP itu turut diberikan kepada mereka yang tidak terkesan seperti kakitangan badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Apabila semua orang boleh bawa keluar duit, permintaan barang jadi meningkat. Bukan itu sahaja. Bank bagi moratorium enam bulan untuk orang yang tidak terkesan,’’ katanya. – UTUSAN










