Garaj kereta tempat teduh empat beranak

Garaj kereta tempat teduh empat beranak

JAMIL Ahamad dan Siti Nur Syahera Nabila Hamzah bersama dua anak perempuan mereka menjadikan garaj kereta sebagai kediaman di Kampung Sungai Batu Besi, Pengkalan Langgar, Merbok, Kedah. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK: Kesempitan hidup memaksa empat beranak menjadikan garaj kereta sebagai tempat berteduh di Kampung Sungai Batu Besi, Pengkalan Langgar, Bujang di sini sejak dua minggu lalu.

Keputusan itu terpaksa diambil Jamil Ahamad, 36, selepas gagal menjelaskan sewa rumah di Kampung Selamat, Pulau Pinang kerana tidak mempunyai pendapatan sejak berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan lebih empat bulan lalu.

Kata Jamil, selepas berbincang dengan keluarga isterinya, Siti Nur Syahera Nabila Hamzah, 28, mereka sepakat untuk tinggal sementara di garaj yang berkeluasan 5×5 meter bersebelahan rumah mentuanya di kampung itu.

“Buat masa sekarang kami tidak mempunyai pilihan selain menjadikan tempat letak kereta ini sebagai rumah untuk didiami bersama isteri dan dua anak pe­rempuan, Nur Amani Arisya, 4, dan Nur Iman Arisya, 5.

“Meskipun tidak berdinding dan hanya berlantaikan tanah tetapi inilah kediaman yang sesuai buat kami pada masa ini, bekalan elektrik disambung daripada rumah mentua,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Jamil, dia tidak sampai hati untuk tinggal menum­pang di rumah mentuanya, Shion Junus, 50, yang terletak berdekatan kerana selain rumah itu kecil masih terdapat lima lagi adik ipar­nya termasuk empat perem­puan tinggal di situ.

“Memang kami berhajat untuk tinggal sementara di sini sebelum menyewa di tempat lain kerana saya sedang berusaha mencari kerja untuk memperoleh pendapatan.

“Tambahan lagi isteri saya sekarang sarat hamil dan dijangka melahirkan anak ketiga awal Mei ini menyebabkan kami memilih untuk tinggal berdekatan keluarga biarpun dalam serba ke­kurangan,” katanya.

Jamil memaklumkan, dia tidak boleh melakukan kerja berat kerana tulang pahanya patah selepas terlibat kemalangan jalan raya pada 2009 lalu.

“Bagi menampung hidup se­lepas berhenti kerja, saya mengambil upah melakukan kerja kampung dengan pendapatan tak menentu dan hanya mengharapkan bantuan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang baru diterima April ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×