Dua bot nelayan Vietnam ditahan tangkap ikan di Terengganu - Utusan Malaysia

Dua bot nelayan Vietnam ditahan tangkap ikan di Terengganu

SALAH sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan ketika menangkap ikan di perairan negara dekat Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Maritim Malaysia negeri menahan dua buah bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan Terengganu di sini semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten (M) Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, kedua-dua buah bot itu ditahan pada jarak 133 dan 134 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu.

Menurut beliau, hasil rampasan membabitkan dua buah bot dan peralatan menangkap ikan termasuk diesel yang semuanya dianggarkan berjumlah RM3 juta selain turut menahan 17 kru dan tekong warga Vietnam.

“Ketika Op Naga Barat dan Op Kuda Laut, kita mengesan kedua-dua buah bot tersebut sedang menangkap ikan dalam perairan negara.

“Ketika dihampiri, mereka melarikan diri dengan keluar dari perairan negara namun tindakan pantas kapal Maritim memintas bot tersebut berjaya mematahkan usaha itu.

“Pemeriksaan mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen lesen yang sah manakala kru berusia 19 sehingga 59 tahun turut ditahan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd. Khairulanuar berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki permit menangkap hasil laut serta disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, semua kru termasuk tekong telah dibawa ke Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×