Cadang wujud pangkalan data peniaga tawar Menu Rahmah di bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Cadang wujud pangkalan data peniaga tawar Menu Rahmah di bazar Ramadan

SALAHUDDIN AYUB (kanan) ketika mengadakan sesi walkabout di Bazar Ramadan Rahmah Bandar Prima Senawang di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN:  Sebanyak 901 buah gerai peniaga telah menyertai dan menawarkan Menu Rahmah yang disediakan di Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara setakat hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, hasil sambutan menggalakkan daripada peniaga itu, pihak kementerian bercadang untuk mewujudkan satu sistem pangkalan data (data base) kesemua peniaga terlibat.

Jelas beliau, menerusi pangkalan data tersebut, pihak kementerian dapat mengenal pasti dan membantu peniaga terbabit dalam memastikan mereka terus terlibat dalam aktiviti perniagaan masing-masing.

“Saya bercadang supaya satu sistem data base yang lebih komprehensif dibangunkan oleh pihak kementerian, setakat ini di seluruh negara terdapat sebanyak 901 gerai Bazar Ramadan Rahmah yang telah berjaya didaftarkan setakat hari ini.

“Kami menjangkakan dengan sistem pendaftaran yang lebih efisien dan promosi yang akan terus dilaksanakan, mungkin pada tahun hadapan, jumlahnya akan meningkat sekali ganda lagi.

“Sasaran pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kami akan pastikan bahawa peniaga-peniaga ini dapat meneruskan aktiviti mereka, jika tidak di bazar Ramadan, mereka juga berniaga di pasar-pasar malam atau pasar harian,” katanya.

Salahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi walkabout dan melancarkan Bazar Ramadan Rahmah dan Program Inisiatif Pendigital Sektor Peruncitan (REDI) Peringkat Negeri Sembilan di Bazar Ramadan Rahmah, Bandar Prima Senawang di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu memberitahu, terdapat sebanyak tiga lokasi yang melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah di negeri ini termasuk dua buah lagi iaitu di Dataran Kuala Pilah dan di Batu 4, Port Dickson.

“Menerusi data base itu, KPDN akan mengadakan libat urus dengan peniaga-peniaga Menu Rahmah di Bazar-bazar Ramadan Rahmah ini, kami berikan pandangan dan tawarkan kursus jangka pendek bagi meningkatkan lagi pengetahuan mereka dalam bidang pemakanan dan melihat bantuan-bantuan lain yang boleh kami beri dan galakkan kepada semua peniaga Menu Rahmah ini,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, hasil maklum balas yang diterima dan pemerhatian yang dibuat, hampir kesemua gerai yang menawarkan Menu Rahmah di bazar Ramadan yang terlibat telah mendapat sambutan menggalakkan.

“Pelanggan juga berpuas hati dengan mutu makanan yang diperoleh serta peniaga juga mendapat keuntungan daripada jualan tersebut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN