Boleh mohon pengampunan tetapi jangan sampai hina mahkamah

Boleh mohon pengampunan tetapi jangan sampai hina mahkamah

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses pengampunan perlu dibuat secara teratur dan mengambil kira segala situasi dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk kes melibatkan SRC International bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur menghina, mempertikai atau membelakangkan keputusan mahkamah.

Malah, pengampunan tidak seharusnya diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu semata-mata bersandarkan kepada surat pihak tertentu serta alasan-alasan yang meragukan dan boleh dipertikai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan, terdapat unsur-unsur penghinaan terhadap mahkamah apabila surat mengenai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang didakwa melanggar Kod Etika Hakim 2009 tersebar.

Ini kerana katanya, penyebaran surat tersebut disambut dengan desakan pengampunan terhadap Yang di-Pertuan Agong, sekali gus dilihat menjejaskan imej mahkamah dan badan kehakiman secara ke­seluruhan.

Katanya, Peguam Negara mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk meneliti unsur-unsur penghinaan terhadap mahkamah terutama dalam proses pengampunan tersebut.

Beliau bagaimanapun menyifatkan, tindakan UMNO yang mahu bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan mengenai hasrat pengampunan Najib tidak menyalahi undang-undang asalkan ia dijalankan mengikut proses sewajarnya.

“Proses pengampunan sebenarnya dijalankan dengan teratur dan tertib. Tidak salah UMNO nak jumpa Seri Paduka untuk memberi surat sokongan, tetapi petisyen permohonan perlu dibuat oleh banduan, ahli keluarga atau peguam.

“Jadi, tiada siapa yang ada hak membantah pengampunan Najib sebab keputusan pengampunan tetap di bawah budi bi­cara Seri Paduka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, isu permohonan pengampunan Najib adalah pendirian UMNO dan bukan pendirian kerajaan.

Katanya, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, permohonan pengampunan boleh dimohon oleh sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan dan ia proses biasa.

“Tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada dibenarkan atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk memohon ihsan Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN