Beri perkhidmatan secara konsisten di CIQ - MB - Utusan Malaysia

Beri perkhidmatan secara konsisten di CIQ – MB

BEBERAPA kaunter di CIQ BSI tidak beroperasi walaupun masih dalam tempoh perayaan Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri ini diminta terus memberikan perkhidmatan terbaik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini yang merupakan pintu masuk utama negara di selatan tanah air.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan kaunter pemeriksaan imigresen yang ditutup walaupun ketika masih dalam tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mohon supaya pihak imigresen terus memberi perkhidmatan yang terbaik seperti minggu lepas (ketika lawatan beliau). Hari ini (semalam), saya dapat laporan bahawa banyak kaunter yang ditutup walaupun ada banyak kenderaan. 

“Kita perlu terus konsisten dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook rasminya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir memberitahu, beberapa kaunter di CIQ BSI tidak dapat beroperasi atas sebab tertentu termasuk masalah teknikal dan keselamatan.

“Bukan tutup, istilah yang tepat tidak dapat beroperasi. Memang ada sebahagian kecil tidak beroperasi atas beberapa alasan seperti masalah teknikal, kerja penyelenggaraan, isu keselamatan dan sebagainya.

“Penjelasan telah dibuat kepada Menteri Besar Johor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Isnin lalu, Onn Hafiz sempat singgah di BSI sambil mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas lain di bangunan itu atas komitmen mereka memastikan perjalanan yang lancar bagi pengguna sepanjang musim perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN