REMBAU: Seorang bekas tentera melihat kehadiran seekor harimau belang yang melintas jalan dalam kejadian di Kampung Batu Puteh, Chengkau dekat sini pagi tadi.
Mohamad Zamri Mokhtar, 42, berkata, ketika kejadian pukul 7.20 pagi itu, dia dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak keduanya ke sebuah sekolah menengah di Kota untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Rumah Rakyat Chengkau.
Menurutnya, dia yang menunggang motosikal dapat melihat sendiri dengan begitu jelas kehadiran harimau belang bersaiz besar tersebut dan belang kuning haiwan itu juga nampak ketara.
“Pada waktu itu saya memang panik dan menggigil kerana jarak dengan haiwan itu hanya beberapa meter sahaja. Harimau belang itu terus melompat ke jalan raya dan menuju ke kawasan semak di kanan jalan, memang tidak sangka akan dapat lihat betul-betul di depan mata,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ujarnya, susulan kejadian itu, dia telah pun membuat laporan polis kerana bimbangkan penduduk kampung serta pelajar sekolah yang terletak berhampiran.
“Saya yakin bukan binatang lain, memang jelas belangnya. Saya maklumkan kejadian ini kepada ketua kampung, saya lapor polis dan turut menghubungi Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Berdasarkan cerita-cerita penduduk kampung, harimau belang memang pernah dilihat di sekitar kawasan ini pada tahun 1980-an,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli memaklumkan pihaknya ada menerima aduan mengenai kejadian itu.
“Pihak jabatan ada menerima aduan tersebut dan telah ke lokasi untuk siasatan. Pihak jabatan bercadang untuk memasang kamera perangkap (camera trap) bagi mengesahkan aduan tersebut,” katanya lagi.-UTUSAN.










