MELAKA: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang baharu akan dilantik dalam tempoh 48 jam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, semalam berkata, kesemua exco terdahulu di bawah kepemimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali terbubar secara automatik selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu melepaskan jawatannya kelmarin.
Katanya, komposisi parti politik yang dipilih sama ada turut melibatkan ADUN Pakatan Harapan (PH) belum diputuskan kerana perlu mendapat pandangan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu.
“Saya kini sedang dalam pertimbangan untuk melantik Exco baharu dan akan diputuskan dalam tempoh 48 jam. Kekosongan jawatan ini tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana negeri (pentadbiran) perlu berjalan.
“Buat masa ini saya tidak mendapat panduan lagi (komposisi) barisan Exco yang akan dibentuk dan akan merujuk kepada Presiden saya dahulu apakah hala tujunya. Saya akan mengambil petua tersebut untuk merangka Exco kerajaan negeri.
“Exco kekal 10 orang. Sama ada Exco sebelum ini akan dilantik semula bergantung kepada ilham saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas istiadat angkat sumpah semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah kira-kira pukul 3.33 petang.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama.
Ab. Rauf, 61, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka dicalonkan UMNO bagi menggantikan Sulaiman yang melepaskan jawatannya berikutan masalah kesihatan.
Beliau turut menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.
Ini merupakan kali kedua Melaka melaksanakan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021.
Ab. Rauf memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara dalam PRN Melaka dengan majoriti 364 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan. – UTUSAN










