PETALING JAYA: Lebih 18 juta perantau mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing mulai kelmarin bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Migrasi terbesar di negara ini setiap kali sambutan Aidilfitri bermula tengah malam kelmarin iaitu pada hari pertama pemberian tol percuma selama empat hari dilaksanakan seperti diumumkan kerajaan.
Selain rakyat beragama Islam yang merupakan 65 peratus penduduk negara ini, pergerakan itu juga melibatkan kumpulan masyarakat lain yang turut mengambil kesempatan untuk bercuti dan pulang ke kampung bertemu ahli keluarga masing-masing
Peningkatan jumlah kenderaan 20 peratus di semua lebuh raya dijangka berterusan antara hari ini hingga esok, Isnin dan Selasa, 29 April hingga 1 Mei dan 4 Mei hingga 7 Mei ini.
Antara lebuh raya yang mengalami penambahan kenderaan mendadak ialah Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur dengan tinjauan mendapati ramai pemandu mengeluh pengalaman terperangkap dalam kesesakan untuk pulang ke utara, selatan dan pantai timur tanah air.
ALIRAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Kanan Pemantauan Operasi (TMC) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd. Iqram Azraz Razhi berkata, setakat pukul 9 malam kelmarin sehingga pagi semalam, Lebuh Raya Utara Selatan sahaja merekodkan aliran trafik berjumlah 1.9 juta kenderaan di kedua-dua arah.
Menurut beliau, peningkatan pada hari seterusnya dijangka berlaku secara berperingkat kerana tol percuma diberikan tiga hari sebelum hari raya, selain cuti umum tambahan yang diberikan turut mempengaruhi trend pergerakan trafik pada tahun ini.
“Jangkaan jumlah trafik dalam sehari bermula 19 April sehingga 26 April adalah sebanyak dua juta ke 2.3 juta kenderaan sehari yang melibatkan trafik di lebuh raya utama kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma di semua 33 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan untuk memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung.
MEMBANJIRI
Susulan itu, LLM melaporkan kenderaan mula membanjiri beberapa lebuh raya utama bermula pukul 12 tengah malam kelmarin untuk menikmati `hadiah’ kerajaan.
Dilaporkan Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur paling sesak bermula pukul 12 tengah malam sehingga pagi semalam terutamanya melibatkan laluan dari Plaza Tol Gombak menghala ke Genting Sempah.
Begitu juga Lebuh Raya Utara-Selatan mengalami kesesakan terutamanya arah utara yang membabitkan laluan dari Ipoh ke utara.
Bagaimanapun, mengulas lanjut, Mohd. Iqram berkata, trafik bermula tengah malam kelmarin di kebanyakan lebuh raya setakat tengah hari semalam masih lancar.
Namun, katanya, trafik tinggi hanya dikesan di beberapa lokasi arah utara, selatan dan pantai timur.
“Trafik agak tinggi seperti di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di laluan Tapah ke Gopeng, laluan Kuala Kangsar ke Changkat Jering dan laluan Permatang Pauh ke Tol Plaza Sg. Dua, manakala di laluan Sedenak ke Kulai arah selatan.
PERLAHAN
“Di Lebuh Raya Pantai Timur 2, kenderaan bergerak perlahan tiga kilometer sebelum Plaza Tol Kuala Terengganu,” kata beliau.
Sementara itu, ANIH Berhad, pengendali KLK dan LPT1 menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur sepanjang musim raya akan meningkat lebih 3 juta kenderaan.
Selain itu, orang ramai yang ingin pulang ke Pantai Timur dicadang menggunakan Jadual Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan ANIH Berhad bagi mengelakkan kesesakan yang lebih teruk.
Pengguna dari Kuala Lumpur dan Selangor yang menuju ke Terengganu dan Kelantan dinasihatkan memasuki lebuh raya seawal pukul 6 pagi, manakala mereka yang mahu ke Pahang disaran masuk bermula pukul 10 pagi.
Pengguna dari Kuala Lumpur dan Selangor yang pulang ke Terengganu dan Pahang pula diberi pilihan untuk memasuki lebuh raya pada pukul 8 malam, manakala mereka yang pulang ke Kelantan pula adalah pada pukul 5 petang.
Pada masa sama, lebih 100,000 tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang ditawarkan antara 19 hingga 25 April depan habis dijual.
Setakat kelmarin, sebanyak 90 peratus daripada 8,820 tiket tambahan perkhidmatan tren elektrik (ETS) laluan pergi dan balik KL Sentral-Padang Besar dan KL Sentral – Butterworth dijual sejak ia mula dibuka pada 24 Mac lepas. – UTUSAN









