KUALA LUMPUR: Kerajaan mula menggunakan campuran bitumen dan getah untuk penurapan jalan raya bagi merangsang sektor pembangunan getah tempatan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, inisiatif ini dijayakan dengan penggunaan teknologi Bitumen Sekerap Terubahsuai (CMB).
“Kerajaan telah melaksanakan program terapan jalan raya hasil daripada teknologi CMB yang telah dibangunkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).
“Sehingga kini, terdapat turapan jalan berasaskan getah sepanjang 270 kilometer di Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta untuk penggunaan CMB untuk penyelenggaraan jalan di seluruh negara. Ini akan memastikan bekalan getah di peringkat awal dapat dipertingkatkan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian itu di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Siti Aminah juga menjelaskan mengenai usaha kementerian itu berkenaan menangani kempen anti minyak sawit yang digerakkan kesatuan Eropah (EU).
“Kos untuk menangani kempen anti sawit terutamanya di EU amat tinggi, kami ingin memaklumkan bahawa kementerian telah memohon peruntukkan yang lebih daripada RM20 juta pada tahun 2023.
“Bagaimanapun, yang diluluskan oleh kementerian kewangan adalah sebanyak RM10 juta. Kami amat berbesar hati sekiranya kementerian kewangan dapat memberikan peruntukkan yang lebih untuk menangani kempen anti minyak sawit ini,” jelasnya. – UTUSAN










