Tambang van sekolah di Melaka tak naik - Utusan Malaysia

Tambang van sekolah di Melaka tak naik

Pengusaha van sekolah di Melaka tidak bercadang menaikkan tambang.- UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada peningkatan har­ga tambang van sekolah pa­da sesi persekolahan yang ber­mula minggu hadapan walaupun pengusaha berdepan ke­naikan kos alat ganti dan ke­perluan melakukan ujian di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha van sekolah, Azman Mohd. Ali, 57, berkata, dia tidak bercadang menaikkan tambang kerana telah berbuat demikian pada tahun lalu.

Katanya, tambang terpaksa dinaikkan tahun lepas selepas dia tidak mampu lagi menanggung kos alat ganti jika tambang kekal pada harga lama.

“Saya menaikkan harga tambang daripada RM40 sebulan kepada RM50 ke RM60 sebulan, bergantung kepada jarak lokasi rumah pelajar. Saya buat keputusan menaikkan tambang kerana kos penyelenggaraan kenderaan semakin mahal.

“Selain itu, menghantar van untuk pemeriksaan di Puspakom setiap enam bulan sekali turut menelan belanja yang tinggi. Banyak yang perlu ditukar seperti brek dan tayar jika mahu lulus ujian tersebut.

“Mahu atau tidak saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk memastikan van dalam keada­an baik demi menjamin kese­lamatan pelajar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Azman, setakat ini belum ada ura-ura daripada rakan pengusaha atau pihak persatuan mahu menaikkan harga tambang pada tahun ini.

Menurutnya, ibu bapa yang mencari perkhidmatan van sekolah pasti memilih tambang yang berpatutan dan jika dinaikkan, dibimbangi akan kehila­ngan pelanggan.

“Saya sendiri tidak menerima rungutan daripada ibu bapa apabila menaikkan tambang seba­nyak RM10. Mereka memahami situasi saya dan mengakui tambang saya yang paling murah kerana ada pengusaha lain yang mengenakan tambang sehingga RM90 sebulan.

“Ibu bapa masih mencari harga tambang yang munasabah. Harga yang kompetitif pen­ting untuk menarik pelanggan dan saya berpandangan harga mungkin akan kekal seperti sebelum ini,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN