Suami isteri sedekah susu bayi ubati rindu anak

Suami isteri sedekah susu bayi ubati rindu anak

MOHD. Fazlan Nizam dan Mimi Doleng menziarahi kubur anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bali dekat Seri Iskandar di Parit, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Kesedihan akibat hilang dua anak sekali gus dalam kebakaran rumah kedai Ramadan tahun lalu mendorong sepasang suami isteri bersedekah susu bayi kepada keluarga yang mempunyai anak kecil untuk mengubati rindu kepada anak mereka.

Mohd. Fazlan Nizam, 37, dan Mimi Doleng, 29, masih belum dapat melupakan tragedi tersebut, malah ingatan terhadap peristiwa itu semakin kuat ke­rana kebakaran berlaku ketika mereka baru selesai bersahur.

Dalam kebakaran rumah kedai di Persiaran SIBC, Seri Iskandar pada 21 April tahun lalu, pasangan suami isteri itu kehilangan dua anak mereka, Muhammad Fahmi berusia enam tahun dan Nor Fahmia berusia enam bulan, yang maut dalam kejadian tersebut.

Menurut Mohd. Fazlan, ketibaan Ramadan kali ini dirasakan amat berlainan kerana tragedi yang menimpa dua anak mereka berlaku ketika umat Islam ber­puasa.

Katanya, walaupun sudah hampir setahun peristiwa itu berlaku, dia sentiasa teringatkan dua anaknya yang telah meninggal dunia itu.

“Rasa sedih di atas kehila­ngan dua anak sekali gus memang masih kami rasai apatah lagi tidak lama lagi kita akan berpuasa.

“Namun kami reda atas apa yang berlaku, saya percaya masa yang berlalu akan me­ngubati rasa pahit dan perit serta trauma akibat kehilangan dua orang insan tersayang dalam sekelip mata saja tetapi sebagai manusia, adalah normal untuk berasa sedih menangis.

“Tidak salah bersedih dan penting untuk menerima hakikat kehilangan orang tersayang dan emosi yang datang dengannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Mimi berkata, untuk mengubat rasa rindu terhadap arwah anak yang mening­gal dunia, mereka menziarahi kubur anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bali dekat sini setiap Jumaat.

Katanya, selain itu mereka juga bersedekah susu bayi yang diberikan kepada mereka yang mempunyai anak kecil atau yang mempunyai anak yang sebaya dengan anak mereka yang telah meninggal dunia.

“Anak saya meninggal dunia semasa dia masih menyusu badan lagi, ini yang menyebabkan saya masih teringatkan dia

“Untuk itu, setiap hari Jumaat kami berdua menziarahi kubur anak kami, berdoa dan hilangkan rindu. Kami juga memberi sedekah susu kepada orang yang ada anak kecil yang sebaya arwah anak saya.

“Dengan cara ini dapat jugalah saya mengubat kerinduan terhadap anak saya yang telah pergi lebih dahulu meninggalkan kami,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami mahu melupakan tragedi yang berlaku.

“Kami cuba melupakan apa yang berlaku dengan membuka restoran semula, kami mencari masa bersama rakan terdekat bagi berkongsi perasaan dan masalah yang dihadapi,” katanya.

Dalam kebakaran rumah kedai pada 21 April tahun lalu, dua anak pasangan suami isteri itu maut dalam kejadian sekitar pukul 5 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN