KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan hari ini sama ada rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan kes SRC International ke atasnya dibenarkan.
Sekiranya permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan, maka pendengaran merit semakan akan ditetapkan dan jika sebaliknya, maka Najib akan meneruskan hukuman penjara 12 tahun ke atasnya sebelum ini.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais akan memutuskan sama ada Najib layak diberi kebenaran menyemak semula kes beliau.
Pada 6 September 2022, Najib memohon penghakiman Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara disemak semula, malah beliau turut memohon dibebaskan daripada tahanan sementara menunggu semakan itu diputuskan.
Permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu mula didengar pada 19 Januari lalu sebelum terhenti kira-kira sebulan dan bersambung semula selama lima hari bermula 20 Februari lalu.
Pada prosiding tersebut, Najib kembali diwakili peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Datuk V. Sithambaram.
Sekiranya semakan itu mempunyai merit, Najib memohon agar pendengaran rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim yang lain yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan sesuai.
Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.
Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai.
Rayuan akhir tersebut didengar di antara 15 hingga 19 Ogos 2022 di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat manakala keputusan untuk mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dibuat pada 23 Ogos 2022.
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Sewaktu pendengaran hujahan memohon kebenaran semakan, Muhammad Shafee menghujahkan tidak pernah didengar dan penghakiman panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini dibuat berdasarkan hujah sebelah pihak tanpa mengambil kira 94 alasan rayuan yang dikemukakan.
“Penghakiman (panel hakim Mahkamah Persekutuan) tidak ubah seperti satu rumusan tanpa sebarang alasan (sokongan). Tiada dalam penghakiman tersebut menunjukkan bahawa alasan rayuan atau hujah di mahkamah terdahulu diambil kira oleh mahkamah.
“Sebaliknya, hujahan pihak pendakwaan telah dirujuk dalam penghakiman (panel Mahkamah Persekutuan), setidak-tidaknya berhubung mens rea (niat). Selain itu, tiada di mana-mana bahagian penghakiman menunjukkan alasan rayuan atau hujahan perayu telah diambil kira,” kata Muhammad Shafee ketika berhujah sebelum ini.
Sementara itu, Sithambaram ketika berhujah menyatakan tindakan pihak pembelaan menggunakan hantaran Facebook oleh peguam, Datuk Zamani Ibrahim yang merupakan suami kepada Hakim Tengku Maimun untuk sebagai usaha untuk menyingkirkan wanita itu daripada mendengar rayuan akhir terbabit adalah satu langkah terdesak.
“Adalah menakjubkan perayu (Najib) hanya mengetahui mengenai hantaran itu pada 22 Ogos 2022, sehari sebelum pendengaran rayuan itu bersambung. Satu kebetulan yang menakjubkan perayu menemui hantaran tersebut beberapa jam sebelum keputusan rayuan akhir itu dibuat pada 23 Ogos 2022.
“Hakikatnya, mereka mengetahui mengenai hantaran tersebut lebih awal namun memutuskan isu tersebut tidak berbaloi untuk dijadikan asas untuk menyingkirkan Hakim Tengku Maimun. Menggunakan alasan tersebut di saat-saat akhir menunjukkan mereka terdesak untuk menangguhkan perbicaraan,” katanya.
Turut berlaku pada pendengaran rayuan akhir tersebut ialah apabila peguam bela Najib ketika itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tiba-tiba memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas Presiden UMNO itu selepas Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan penangguhan.
Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak oleh panel terbabit dan Hisyam diarahkan berhujah, namun peguam itu enggan berbuat demikian. – UTUSAN










