RM100b kos import makanan 2025 - Utusan Malaysia

RM100b kos import makanan 2025

Grafik nilai import makanan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai import makanan negara boleh mence­cah sehingga RM100 bilion men­jelang 2025 berdasarkan statistik dan trend semasa antaranya di­sebabkan permintaan dalam negara melebihi penawaran.

Mengikut laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun lalu, berbanding RM63.59 bilion pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus manakala RM55.4 bilion dica­tatkan pada 2020.

Malah, ia menunjukkan pe­ningkatan import luar biasa da­lam tempoh 10 tahun kebe­lakangan ini apabila RM38.8 bilion import makanan dicatat­kan pada 2013, menjadikan pe­ningkatan sebanyak 94.6 peratus pada 2022.

Antara komoditi mencatatkan nilai import tertinggi ialah kopi, koko, teh, rempah, bijirin, keluaran dan sediaan bijirin, keluaran dan sediaan makanan lain, bahan makanan untuk ternakan dan sayur-sayuran.

MAKANAN

Rekod tersebut jauh beza de­ngan nilai eksport makanan yang mencatatkan RM44.55 bi­lion tahun lalu, berban­ding RM38.62 bilion pada 2021, RM33.7 bilion (2020) dan RM34 bilion (2019), RM35 bilion (2018) dan RM26 bilion (2013).

Komoditi yang mencatatkan nilai eksport yang tinggi adalah kopi, koko, teh, rempah dan keluaran; bijirin dan sediaan bijirin; ikan, moluska, krustasea dan sediaan; hasil tenusu dan buah-buahan.

Ketua Laboratori Kajian Da­sar Pertanian dan Makanan di Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Put­ra Malaysia, Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Samad menyifatkan statistik menunjukkan bahawa negara berada dalam situasi bahaya kerana terlalu bergantung kepada pengimportan makanan.

Menurut beliau, semakin tinggi kebergantungan kepada bekalan makanan import semakin berisiko negara berhadapan dengan krisis sekuriti atau keselamatan makanan pada masa akan datang.

“Negara akan mengalami krisis makanan apabila berlaku perkara seperti bencana alam atau peperangan seperti yang berlaku antara Ukraine-Russia, kerana ia akan menjejaskan perdagangan antarabangsa terutama dalam mengimport bekalan makanan. Keadaan akan menjadi lebih kritikal kepada negara pengimport seperti Malaysia jika negara pengekport mengurangkan jumlah bekalan makanan yang dieskport.

DOMESTIK

“Disebabkan di pasaran domestik, permintaan makanan melebihi penawaran, kita terpaksa mengimport dari luar negara, tetapi ia hanya sesuai untuk jangka pendek bagi memenuhi permintaan domestik.

“Namun, jika ia berterusan dalam jangka panjang, negara akan berhadapan dengan krisis peningkatan harga barang makanan dan ditambah pula jika kedudukan ringgit yang lemah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Oleh itu, kata beliau, tindakan drastik perlu diambil bagi mengurangkan kebergantungan makanan import yang tidak mustahil akan mencecah RM100 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Antara langkah drastik boleh dilakukan adalah me­ngurangkan eksport makanan terlebih dahulu, meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, serta mengadakan kajian bersama pusat penyelidikan dan universiti bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran hasil pertanian tempatan untuk memenuhi permintaan domestik,” katanya.

DANA

Bagaimanapun, beliau berharap dana yang sewajarnya perlu diperuntukkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan bagi memperkasakan sektor pertanian negara dan memastikan keterjaminan bekalan makanan di masa hadapan.

“Kita sudah ada pakar, idea dan jawatankuasa sekuriti makanan negara untuk menangani isu ini, tetapi jika kerajaan tidak memperuntukkan sejumlah dana yang sewajarnya kepada agensi dan universiti untuk tujuan penyelidikan berkaitan pertanian, usaha ini tidak akan berhasil,” katanya.

Antara inisiatif kerajaan ketika ini bagi mengurangkan kebergantungan sumber import adalah menghasilkan pengeluaran jagung bijian sebanyak 600,000 tan metrik yang dapat mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan sebanyak 30 peratus menjelang 2032.

Malah, Program Pembangunan Jagung Bijian Negara akan membangunkan bahan makanan ternakan alternatif dan memperkasa industri benih tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import input pertanian.

Sebanyak 480,000 tan metrik disasarkan bagi pengeluaran akuakultur, manakala sasaran jangka sederhana (2025) dan jangka panjang (2030) masing-masing adalah seba­nyak 630,000 tan metrik dan 958,000 tan metrik.

Penternakan secara fidlot turut diperluas dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan lembu pedaging untuk mencapai Tahap Sara Diri (SSR) sebanyak 50 peratus pada 2030 manakala Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) menyasarkan pe­ningkatan purata hasil padi per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN