Marquez enggan leka, 44 mata belum jamin gelaran dunia

Marquez enggan leka, 44 mata belum jamin gelaran dunia

Reaksi pelumba pasukan Lenovo Racing Team, Marc Marquez selepas meraih juara bagi kelas MotoGP pada perlumbaan Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Marc Marquez enggan membiarkan kelebihan 44 mata dalam kedudukan kejuaraan dunia mengubah pendekatannya apabila pelumba Ducati Lenovo itu menegaskan tumpuan penuh masih menjadi keutamaan menjelang baki saingan MotoGP musim ini.

Kejayaan meraih kemenangan ketiga dalam kariernya di Litar Antarabangsa Sepang pada Grand Prix (GP) Malaysia, semalam, mengukuhkan kedudukan pelumba Sepanyol itu di puncak kejuaraan dengan 399 mata.

Marquez yang memulakan perlumbaan dari petak kedua terus mengambil alih kedudukan pendahulu daripada adiknya, Alex Marquez, pada pusingan pertama sebelum mengekalkan rentak sehingga melintasi garisan penamat dengan catatan 40 minit 14.236 saat (s).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat menumpukan perhatian sepanjang minggu perlumbaan ini, bermula dari sesi latihan bebas pertama apabila saya keluar dengan pendekatan seperti melakukan pusingan kelayakan dan cuba mencari had kemampuan jentera.

“Seperti yang saya katakan, inilah masanya untuk mengambil risiko dan kami berjaya melakukannya sebelum menghadirkan perlumbaan yang sempurna, jadi saya sangat gembira dengan keputusan ini,” kata Marquez selepas perlumbaan semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Marquez menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 4.172s di depan Pedro Acosta daripada Red Bull KTM, manakala Alex Marquez daripada BK8 Gresini Racing melengkapkan podium di tempat ketiga, 5.955s di belakang pemenang.

Namun, pelumba berusia 33 tahun itu tidak mahu terlalu selesa dengan kedudukan semasa apabila Jorge Martin daripada Aprilia Racing yang berada di tangga kedua dengan 355 mata terpaksa menarik diri daripada perlumbaan di Sepang akibat kecederaan pergelangan tangan.

Dalam pada itu, Marquez berkata mentalitinya tidak akan berubah walaupun peluang untuk merangkul kejuaraan dunia semakin terbuka, sebaliknya mahu terus memberikan sepenuh tumpuan dalam setiap sesi dan perlumbaan yang masih berbaki.

“Cara pemikiran saya tidak boleh berubah, saya perlu terus fokus dan terus menekan, kerana walaupun tidak banyak perlumbaan yang tinggal, masih banyak perkara boleh berlaku,” katanya.

Marquez yang pernah menjuarai MotoGP di Sepang pada 2014 dan 2018 kini membawa bekalan selesa ke GP Qatar hujung minggu depan, namun kelebihan mata itu masih belum menjamin gelaran dunia menjadi miliknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini