SEREMBAN: Berpoligami tanpa kebenaran merupakan antara kesalahan tertinggi direkodkan di Negeri Sembilan sejak 2017 hingga tahun lalu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Nik Azlan Nik Man berkata, kesalahan tersebut menjadi antara yang tertinggi yang direkodkan dalam kesalahan enakmen syariah di Negeri Sembilan.
Ini berdasarkan data terbuka Statistik Kesalahan Enakmen Syariah di Negeri Sembilan dari tahun 2017 sehingga 2022 JHEAINS menunjukkan kesalahan di bawah Seksyen 124, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2023 iaitu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah adalah antara kesalahan tertinggi dicatatkan.
Pada tahun 2017 ia mencatatkan 107 kesalahan, diikuti 2018, (121); 2019 (121); 2020 (71); 2021 (49) dan 2022 (50).
Nik Azlan menjelaskan, halangan daripada keluarga bakal isteri dan isteri sedia ada tidak bersetuju juga menyebabkan antara punca pelaku tidak mengikut saluran yang betul bagi tujuan berpoligami.
“Biasanya mereka tidak mahu minta kebenaran kerana keluarga perempuan tidak bersetuju, isteri sedia ada tidak bersetuju dan mereka rasakan permohonan secara teratur itu lambat. Ada sebab-sebab lain juga seperti tidak berkemampuan untuk menjalani adat perkahwinan seperti kenduri seperti biasa.
“Ada yang turut berpendapat memohon maaf dari isteri sedia ada lebih berkesan daripada meminta izin, kalau minta izin kebanyakan tidak lepas. Jadi mereka berkahwin dahulu kemudian barulah mendaftar untuk berpoligami dan seterusnya memaklumkan kepada isteri terdahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Nik Azlan menambah, untuk berpoligami, pasangan perlu memohon untuk berpoligami di Mahkamah Syariah seterusnya pihak-pihak berkaitan seperti isteri, suami, bapa perempuan atau wali turut akan dipanggil.
Katanya, apabila mahkamah benarkan barulah mereka boleh bernikah berpoligami dan menghantar borang ke Pejabat Undang-undang Keluarga.
“Dalam hal-hal tertentu, mereka tidak mahu ikut prosedur itu tadi, takut isteri tahu jadi mereka bernikah dahulu sama ada di Thailand, Indonesia, berlaku juga di tempat-tempat lain. Dapat surat nikah luar negara, datang untuk mendaftar, kami boleh daftarkan tetapi kena sahkan perkahwinan dahulu.
“Apabila sah perkahwinan barulah kita ke langkah berikutnya iaitu ke Bahagian Undang-undang Keluarga, mengesahkan perkahwinan di mahkamah, yang kemudian menghantar kepada kami dan barulah kami buat pendakwaan.
“Apabila pendakwaan dibuat dia didenda dan membayar denda itu, dijatuhkan hukuman salah kerana poligami tanpa kebenaran barulah Pejabat Undang-undang Keluarga akan daftarkan surat perkahwinan dan keluarkan surat surat nikah yang betul,” katanya lagi.
Nik Azlan menjelaskan, walaupun berpoligami adalah sah mengikut hukum syarak tetapi berpoligami tanpa kebenaran adalah melanggar perundangan pemerintah.
“Saya nasihatkan supaya masyarakat mengambil jalan berkahwin mengikut undang-undang, kalau tidak faham boleh bertanya, kalau ada masalah boleh beritahu dan kami akan membantu, ia tidaklah sesukar mana untuk memohon jadi ikutlah undang-undang.
“Pemerintah buat peraturan berdasarkan maslahat, apabila perkawinan lambat daftar akan libatkan masalah seperti masalah anak dan pusaka apabila berlaku kematian,” katanya yang memberitahu kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah tersebut melibatkan semua golongan tidak hanya orang kenamaan sahaja. – UTUSAN










