PETALING JAYA: Asia perlu bersatu dan bekerjasama ke arah mengurangkan ketidaksamaan selain menggalakkan keadilan sosial serta meningkatkan taraf hidup untuk semua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia akan berdepan masalah peningkatan ketidaksamaan yang boleh mencetuskan kekacauan sosial akibat masalah kejatuhan mendadak pendapatan isi rumah jika tiada tindak balas berkesan menangani isu kemerosotan gaji dan kuasa beli.
Katanya, semua pihak harus bekerjasama dalam satu semangat kerjasama dalam usaha mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua masyarakat.
“Untuk majoriti populasi dunia, pendapatan gaji kekal sebagai bentuk pendapatan utama. Bagaimanapun, menurut Laporan Upah Global ILO 2022-2023, gaji dan kuasa beli isi rumah telah merosot dengan ketara disebabkan oleh Covid-19 dan inflasi global.
“Dengan ketiadaan tindak balas dasar mencukupi, masa depan yang terdekat akan menyaksikan kejatuhan mendadak dalam pendapatan sebenar, peningkatan dalam ketidaksamaan yang boleh mencetuskan lagi keresahan sosial.
“Kita harus bekerjasama dalam semangat perpaduan, berusaha mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.
“Menterjemahkan cita-cita tinggi kepada realiti praktikal, perpaduan dan kerjasama adalah contoh terbaik dalam merealisasikan Inisiatif Belt and Road. Dengan pandemik di belakang kita, kita harus cuba mendapatkan semula momentumnya,” katanya ketika ketika berucap dalam sesi pleno Forum Boao Untuk Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) bertemakan Ketidaktentuan Dunia: Perpaduan dan Kerjasama untuk Pembangunan Di Tengah Cabaran di Hainan yang dihadiri beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri China, Li Qiang.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan, konsep Malaysia Madani diperkenal kerajaan perpaduan pimpinannya bertujuan mewujudkan negara yang mempunyai asas perikemanusiaan selaras nilai ketamadunan.
“Dalam pengertian ini, ia juga falsafah negara kita berpaksikan enam nilai teras iaitu kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan,” katanya.
Anwar berkata, dunia haruslah menumpukan kepada nilai yang menyatukan rakyat sebagai sebuah keluarga manusia dan bukannya nilai memecahbelahkan bagi mencapai solidariti dan kerjasama untuk pembangunan di tengah-tengah cabaran. – UTUSAN










