'Naik sewa seakan-akan nak bunuh kami' - Utusan Malaysia

‘Naik sewa seakan-akan nak bunuh kami’

SYED OTHMAN ABDULLAH (tiga dari kanan) bersama sebahagian para peniaga menunjukkan surat kenaikan sewa yang dikenakan MBPG di Gerai Kebayan Tembusu, Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 226 peniaga di 18 kawasan Kebayan dan Semai Niaga di sekitar Pasir Gudang kian terbeban dan hampir gulung tikar apabila Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menaikkan kadar sewa antara 200 hingga 400 peratus sejak Januari lalu.

Mereka yang merupakan peniaga, antaranya di Kebayan Jalan Sena, Kebayan Taman Mawar,  Kebayan Sungai Buluh, Kebayan Taman Pasir Putih, Semai Niaga Taman Cendana dan Semai Niaga Taman Air Biru menyifatkan kenaikan itu amat keterlaluan dan seakan-akan mahu ‘membunuh’ mereka.

Siti Amzila Ahmad, 42, yang mengusahakan kedai jahitan di Kebayan Jalan Tembusu berkata, sebelum ini sewa bulanan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu  RM490,  namun bermula 1 Januari lalu naik sehingga RM2,028.

“Kadar sewa baharu ini amat tidak munasabah dalam keadaan perniagaan kami yang perlahan dan masih mahu menapak selepas Covid-19. Apatah lagi lokasi Kebayan Jalan Tembusu yang tidak strategik.

“Keadaan ini membuatkan sumber pendapatan kami terjejas sebab kos operasi perniagaan bertambah berkali ganda dan mendadak dalam keadaan ekonomi tidak menentu selepas pandemik,” katanya dalam sidang akhbar yang dianjurkan Pertubuhan Prihatin dan Cinta Malaysia di Kebayan Jalan Tembusu, hari ini.

Menurutnya, kenaikan sewa itu tidak relevan kerana hampir semua kawasan Kebayan dan Semai Niaga berada di luar kawasan pusat perdagangan komersial yang dikelilingi perumahan kos rendah dan rumah pangsa kebanyakannya didiami warga asing.

Norlida Saadon, 43, yang mengusahakan Restoran Mee Bandung Sarang Buaya berkata, kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barang dan perkhidmatan, serta terkini kadar sewa dinaikkan memberi tekanan kepada peniaga.

“Saya hampir-hampir tutup kedai bulan lalu tetapi apabila syarat diberikan PBT terbabit supaya menyerahkan kedai dalam keadaan asal jika mahu tutup kedai, ini memerlukan kos.

“Mahu cari kedai baharu perlukan kos, nak keluar dari kedai sedia ada pun perlu kos,” katanya yang sudah dua tahun berniaga di situ.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Prihatin dan Cinta Malaysia, Syed Othman Abdullah berkata, kadar sewa yang dinaikkan amat membebankan para peniaga yang kebanyakannya daripada golongan B40.

“Saya sudah berjumpa dengan para peniaga mengenai masalah yang mereka hadapi dan saya akan berjumpa dengan Datuk Bandar MBPG bagi membincangkan kemelut yang mereka hadapi.

“Saya berharap Datuk Bandar akan peduli dengan nasib peniaga ini kerana mereka bukan tolak kenaikan sewa tetapi kenaikannya terlalu tinggi,” katanya.

Utusan Malaysia sedang berusaha mendapat komen daripada pihak MBPG, namun setakat ini belum berhasil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya