MyBrain perlu dihidupkan semula

MyBrain perlu dihidupkan semula

MyBrain perlu dihidupkan semula dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan semula program MyBrain15 yang dimulakan sejak Disember 2010 penting dalam usaha melahirkan generasi dan modal insan yang berpendidikan serta berkepakaran tinggi dalam pelbagai bidang sekali gus mempercepatkan status Malaysia sebagai negara maju.

Ia susulan Kementerian Pendidikan Tinggi bercadang meneruskan program biasiswa berkenaan dengan mengemukakan permohonan peruntukan menerusi Rolling Plan ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) nanti.

Dalam sidang Dewan Negara semalam, Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata, permohonan peruntukan itu akan dibuat kali ini selepas ia tidak diluluskan ketika permohonan dilakukan di bawah Rolling Plan 1, 2 dan 3 RMK12.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, bantuan itu perlu diteruskan kerana pendidikan adalah satu pelaburan membina masa depan.

Malah, menurut beliau, jumlah pemegang PhD yang ramai juga diperlukan supaya Malaysia dapat menjadi negara maju dengan memiliki banyak pakar dalam pelbagai bidang ilmu.

“Bagi saya, program MyBrain15 sangat perlu diteruskan kerana bilangan pensyarah di universiti yang memiliki PhD masih kurang dan kita pun bukanlah sebuah negara kajian di peringkat atasan. Jadi, kalau mahu jadi macam negara-negara jiran, kita kena usaha ramaikan PhD.

“Jika mahu diteruskan, boleh difokuskan pengajian dalam negara sebab tidak semestinya semua pelajar perlu dihantar ke luar negara. Universiti luar negara pun kebanyakan sudah ambil kesempatan dengan menaikkan kadar yuran.

“Kalau menaja seorang pelajar ke luar negara, ia mungkin bersamaan dengan menaja 10 pelajar mengikuti program di dalam negara. Tetapi, pada masa sama tidak boleh hentikan terus penajaan program ke luar negara, penting jika melibatkan program yang tidak ada kepakaran di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Pelaksanaan MyBrain15 ditangguhkan Kementerian Pendidikan ketika diterajui Dr. Maszlee Malik atas alasan kerajaan tidak boleh memberi biasiswa lagi kerana kerajaan menanggung hutang terlalu tinggi.

MyBrain15 merupakan antara program untuk menyokong objektif pelan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dalam mencapai sasaran melahirkan 60,000 graduan PhD warga tempatan menjelang tahun 2025.

Menerusi program tersebut kerajaan akan membiayai pelajar yang layak menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang bagi menghasilkan kajian dan penyelidikan berkualiti tinggi sehingga dianugerahkan ijazah PhD.

Kemudahan pembiayaan yang ditawarkan menerusi tawaran program MyPhD, MyPhD Industri dan MyMaster meliputi yuran pengajian dan elaun sara hidup yang tertakluk kepada syarat dan terma ditetapkan.

Rekod setakat Mac 2019 menunjukkan seramai 24,585 pelajar menamatkan pengajian di bawah program MyMaster, 2,158 orang (MyPhD) dan 20 orang bagi program MyPhD Industri.

Mengulas lanjut, Sahol Hamid yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, kementerian pada masa sama diminta untuk mengkaji semula penangguhan program itu sebelum ini supaya perkara sama tidak berulang.

“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu kaji semula kenapa gagal, kaji di mana kekurangan dan jika boleh, perbaiki perkara itu.

“Selepas hampir 12 tahun mulakan MyBrain15, saya rasa negara, Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti tempatan lebih bersedia dan lebih matang supaya program itu berjaya dilaksanakan ketika ini.

“Mungkin sebelum ini tidak ramai yang boleh menyelia pelajar, tetapi sekarang ini saya percaya ramai sudah kembali dan sepatutnya kita lebih bersedia,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Akademik Universiti Awam, Dr. Mazlan Che Soh berkata, dalam usaha bergerak ke arah bergelar negara maju, maka amat penting untuk negara mempunyai ramai individu yang mempunyai ijazah dalam kedoktoran.

Katanya, ini kerana mereka yang memiliki ijazah itu yang akan menjadi kumpulan penting dalam memacu negara ke arah lebih baik.

“Oleh itu, sangat wajar jika pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan boleh lihat bagaimana cara untuk melaksanakan program itu semula.

“Jangan lihat saja dalam konteks melanjutkan pelajaran di luar negara kerana ia mungkin melibatkan kos, jadi dalam Malaysia sendiri ada universiti awam dan swasta yang cukup baik dari segi kualiti pembelajaran serta pendidikan,” jelasnya.

Habis

=====

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×