Muka lama, baharu barisi UMNO

Muka lama, baharu barisi UMNO

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Pemilihan UMNO yang menyaksikan muka lama dan baharu disifatkan sebagai gandingan mantap saf kepemimpinannya untuk menerajui parti itu.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menyifatkan, keadaan itu dapat dilihat dengan kemenangan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan jawatan Naib Presiden dan dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Mohamed Khaled masih diperlukan kerana mendapat sokongan kuat parti manakala Wan Rosdy dan Johari mampu mencipta gelombang baharu dalam parti.

“Johari dianggap sebagai tokoh yang boleh dipercayai, mempunyai imej bersih, bercakap pun berdasarkan fakta serta dilihat mempunyai hubu­ngan baik dengan kerajaan perpaduan, jadi beliau dilihat calon yang baik dan mampu meme­gang jawatan naib presiden.

“Gandingan nampak mantap, kalau mereka bergabung sebagai satu pasukan sama, mereka mampu mewujudkan gelombang baharu dalam UMNO,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Datuk Seri Azalina Othman Said yang di­sebut-sebut sebagai bakal Naib Presiden tewas, kemungkinan disebabkan perpecahan undi tiga penjuru di Johor iaitu pertembungan dengan Mohamed Khaled dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad serta ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa @ Jamaludin.

Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku penyandang pula tewas setelah kalah di Parlimen Padang Terap dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 manakala seorang lagi calon, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang kalah di Parlimen Kepala Batas turut berdepan nasib sama.

Kedua-duanya merupakan bekas menteri di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majoriti daripada 25 ahli MT baharu adalah muka lama antaranya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Azeez Rahim yang me­raih undi tertinggi.

Shamsul Nasarah meraih undi tertinggi, 178 mengatasi Setiausaha Agung BN, Zambry dan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad yang masing-masing memperolehi 175 dan 167 undi.

Hanya sekitar 10 muka baharu meraih undian tertinggi jawatan MT antaranya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, bekas Ketua Pu­teri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Datuk Lokman Noor Adam.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Dua lagi pemimpin muka baharu ialah Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Akmal Saleh yang terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO manakala Nurul Amal Mohd. Fauzi yang berusia 38 tahun terpilih sebagai Ketua Puteri UMNO setelah memegang jawatan Naib Ketua Puteri sebelum ini.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pula berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita, menewaskan veteran tokoh parti, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil setelah menunjukkan kesetiaannya terhadap presiden dengan mele­takkan jawatan sebagai menteri sebelum ini.

Di sebalik keputusan itu, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan, pucuk pimpinan baharu dijangka terus berdepan beberapa isu yang akan dibangkitkan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Antaranya, isu pertikaian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO, isu pemecatan dan penggantungan pemimpin parti, selain mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa yang singkat dan misi mengembalikan semula sokongan orang Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN