Lans koperal tembak mati isteri dalam bilik tidur - Utusan Malaysia

Lans koperal tembak mati isteri dalam bilik tidur

LOKASI kejadian seorang anggota polis menembak mati isterinya di rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang lans koperal polis yang baru pulang bertugas menembak mati isterinya dalam kejadian di bilik tidur rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini semalam.

Kejadian pukul 6 pagi itu membabitkan anggota polis berusia 26 tahun dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Semasa ditahan lans koperal itu ber­ada di dalam bilik tidur bersama mayat isterinya, Safsufarnisya Salleh,26, yang terba­ring di atas tilam dengan muka cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, polis yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.30 pagi selepas menerima panggilan daripada abang mangsa menahan anggota polis terbabit yang tidak melawan tetapi se­perti terkejut.

Menurut beliau, hasil siasatan semasa kejadian rumah tersebut mempunyai tujuh ahli keluarga iaitu ayah, ibu, abang dan anak saudara mangsa.

“Bapa mangsa memaklumkan dia terdengar bunyi beberapa das tembakan sebelum bersama ahli keluarga yang lain keluar dari rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pihak forensik menemui kesan tembakan di bahagian muka dekat mata sebelah kiri dengan jarak tembakan dekat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Kata Yusharifuddin, pasa­ngan itu sudah dua tahun berkahwin dan belum mempunyai cahaya mata.
Kata beliau, pihak polis menyerbu masuk rumah ber­kenaan bagi menahan lans koperal itu selepas usaha awal memujuk dia menyerah diri tidak berhasil.

Katanya, pihak polis turut menemukan kelongsong peluru di dalam bilik berkenaan
“Kita masih menyiasat punca kejadian dan masih tidak boleh membuat andaian awal sama ada anggota polis itu dalam keadaan murung atau pun berlaku sebarang pertengkaran antara mereka,” katanya.

Katanya lagi, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya akan mendapat perintah reman terhadap suspek hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap anggota hanya dibenarkan membawa senjata api dalam tempoh bertugas.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN