Kuasa Mahkamah Persekutuan semak hukuman mati

Kuasa Mahkamah Persekutuan semak hukuman mati

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan diberi kuasa menyemak semula hukuman mati membabitkan 840 banduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, banduan masih boleh mengemukakan rayuan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Negeri jika mahkamah mengekalkan hukuman sedia ada selepas kajian semula hukuman.

Ia susulan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Mahkamah boleh mempertimbangkan pelanjutan tempoh untuk mengemukakan permohonan kajian semula hukuman tertakluk alasan yang munasabah.

“Ini akan memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula kes 25 banduan hukuman mati, yang ditolak rayuan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan.

“Bagaimanapun, permohonan mengkaji semula hukuman perlu dibuat dalam tempoh 90 hari dari tarikh kuat kuasa akta ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut Azalina, permohonan kajian semula hukuman boleh dikemukakan sekali sahaja.

Akta baharu itu juga terpakai bagi 117 orang banduan yang sedang menjalani pemenjaraan seumur hayat iaitu 47 banduan yang sudah dijatuhkan hukuman dan 70 orang banduan hukuman mati yang diberi peri­nganan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Negeri.

Sementara itu, seramai 476 orang banduan hukuman mati yang belum selesai de­ngan proses rayuan di peringkat mahkamah akan tertakluk kepada RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Sementara itu, dalam sidang Parlimen semalam, Rang Undang-Undang (RUU) pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Azalina Othman Said membentangkan RUU yang melibatkan enam dasar tersebut.

Enam dasar tersebut termasuk untuk meminda Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37], Akta Senjata 1960 [Akta 206], Akta Penculikan 1961 [Akta 365], Akta Dadah Berbahaya 1952[Akta 234], Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708], Kanun Tatacara Jenayah.

Tahun lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jun 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN