ADUN PH Melaka terkejut pengumuman Ahmad Zahid

Kerajaan Madani: ADUN PH Melaka terkejut pengumuman Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam, Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Melaka mengakui terkejut dengan pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung pembentukan Kerajaan Madani di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, beliau secara peribadi tidak mengetahui wujud usaha pembentukan berkenaan kerana tidak terlibat dalam sebarang perbincangan.

Bagaimanapun katanya, perlu lebih banyak perbincangan antara Barisan Nasional (BN) dan PH Melaka demi memperkukuhkan semangat perpaduan yang telah wujud di peringkat Persekutuan.

“Sama ada wujud Kerajaan Madani atau tidak di Melaka, peranan wakil rakyat termasuk pembangkang perlu diperkasakan menerusi penglibatan dalam penggubalan atau pembentukan dasar kerajaan negeri. Penyertaan dalam perbincangan dasar ini merupakan suatu permulaan yang baik,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ahmad Zahid semasa berucap merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam dekat sini, kelmarin memberi bayangan akan wujud pembentukan kerajaan perpaduan atau Kerajaan Madani di Melaka.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu tidak menyatakan secara jelas sama ada bakal berlaku rombakan Exco kerana sebarang keputusan akan dibuat selepas perbincangan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong berharap diberikan peranan lebih proaktif di pelbagai peringkat jawatankuasa, sekiranya Kerajaan Madani diwujudkan di negeri ini.

Katanya, penglibatan itu penting agar semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih seimbang dan berkesan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Menurut beliau, buat masa ini rakan kerajaan perpaduan daripada PH masih belum dijemput menyertai jawatankuasa tindakan di setiap daerah.

“Kita telah menyertai mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun). Kekurangan kita ketika ini adalah masih belum dijemput menyertai Jawatankuasa Tindakan Daerah.

“Jawatankuasa ini merupakan antara yang terpenting selain daripada jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Selepas menyertai jawatankuasa tersebut, baru kita boleh menubuhkan satu jawatankuasa pelaksanaan, itu yang paling penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN