‘Kami juga mahu setaraf guru lain’

‘Kami juga mahu setaraf guru lain’

guru kafa
KPM memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Mula mengajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) sejak tahun 2007, gaji yang diterimanya sekadar menokok tambah pendapatan suaminya untuk menyara mereka sekeluarga.

Dengan gaji yang kecil, seorang guru di sebuah SRA di daerah ini yang hanya mahu dikenali Nor, 50, berkata, sehubungan itu, dia mengharapkan gaji yang lebih baik seperti guru di sekolah kebangsaan.

Katanya, isu gaji dan taraf jawatan guru SRA dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sudah lama dibincangkan tetapi golongan sepertinya terus terpinggir.

SKIM GAJI

Menurutnya, jika boleh dia dan rakan-rakannya mahu menikmati skim gaji yang lebih baik apatah lagi sekarang guru SRA dan KAFA bukan hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi ada yang memiliki kelulusan hingga peringkat ijazah.

Katanya, mereka sentiasa menunggu khabar gembira daripada kerajaan berhubungi gaji dan status jawatan mereka.

“Harapan saya kalau boleh kami dalam bidang pendidikan agama hendak juga dipandang sama rata dengan guru lain. Kami juga mahu masyarakat mempunyai pandangan yang setaraf dengan guru lain, apatah lagi ini pendidikan agama yang cukup penting sebagai asas kepada kanak-kanak Islam.

“Kalau mengimpikan imbuhan lain yang lebih baik supaya hidup kami tidak terlalu susah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, dengan status jawatan kontrak yang diperbaharui setiap tiga tahun dan gaji yang rendah, ini sudah tentu memberikan tekanan kepada golongan itu untuk kelangsu­ngan hidup mereka.

Katanya, bagi guru wanita mungkin tidak begitu terasa bebannya kepada mereka mempunyai suami.

“Sebaliknya saya melihat guru lelaki begitu tertekan kerana gaji yang rendah apatah lagi jika mereka sudah berkeluarga. Tak boleh bergantung sepenuhnya kepada gaji sebagai guru SRA atau KAFA.

“Malah ada guru lelaki yang terpaksa membuat kerja sambilan untuk menambah pendapatan. Kalau duduk di kampung ada tanah untuk diusahakan, legalah sedikit tapi kalau tiada tanah untuk diusahakan, ini membebankan mereka.

“Berilah imbuhan lain supaya hidup kami tidak terlalu susah,” katanya.

Terdapat seramai 3,208 guru KAFA di seluruh Perak ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN