PETALING JAYA: Tindakan kerajaan menghentikan penajaan pelajar perubatan dan kejururawatan di universiti tempatan boleh memburukkan lagi sistem kesihatan negara ketika banyak perkara belum diselesaikan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, ini termasuklah isu kekurangan kakitangan kesihatan, pelantikan doktor kontrak ke jawatan tetap, tenaga pakar dan fasiliti kesihatan yang memerlukan perhatian kerajaan.
“Sektor kesihatan antara terpenting kepada rakyat. Apabila kurang penajaan secara tidak langsung akan kuranglah graduan perubatan atau kejururawatan dan ini akan memburukkan lagi keadaan di sektor kesihatan.
“Yang mana kita saban hari mendengar isu kekurangan kakitangan dan rakyat terpaksa menunggu lama untuk temu janji. Pelajar-pelajar cemerlang yang susah dan tidak mampu membayar kos pengajian di kolej perubatan akan terpaksa melupakan cita-cita mereka.
“Pihak hartal ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai keputusan ini. Adakah sebab faktor kewangan atau faktor lain sehingga menyebabkan kerajaan membuat keputusan itu,” kata ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, JPA dilaporkan tidak akan menawarkan tajaan kursus perubatan, pergigian dan farmasi.
Sebaliknya, tajaan itu hanya untuk mereka yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam dan politeknik premier yang telah dipilih oleh jabatan untuk pinjaman. – UTUSAN










