Ganja 31kg bernilai RM78,207.50 dirampas di Kuantan - Utusan Malaysia

Ganja 31kg bernilai RM78,207.50 dirampas di Kuantan

RAMLI Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas di Jaya Gading, Kuantan minggu lalu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah dan merampas 31 bungkus dadah jenis ganja bernilai RM78,207.50 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Chendering di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, rampasan terbabit merupakan yang terbesar bagi tahun ini setakat Mac ini.

Katanya, rampasan terbabit dibuat pada 21 Mac lalu dengan penahanan lelaki berusia 28 tahun terbabit sekitar pukul 5.30 petang di Jaya Gading di sini, bersama satu kilogram ganja dipercayai untuk edaran di situ.

“Hasil soal siasat terhadap suspek ketika dalam penahanan di lokap, polis berjaya menimbulkan maklumat berkaitan suspek yang menyimpan dadah jenis ganda di kawasan bangsal tepi rumahnya di Kampung Chendering di sini.

“Hasil serbuan di kawasan bangsal terbabit telah menemukan satu guni yang terdapat dua ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja dengan anggaran berat 1.5 kilogram.

“Turut ditemukan satu bekas plastik berisi 30 ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 29.8 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Ganja dengan keseluruhan berat 31.3 kilogram dengan setiap kilogram bernilai RM2,500 itu boleh dibekalkan kepada 65,566 penagih dadah dalam masa sehari mengambil kira penggunaan harian 0.5 gram.

Ramli berkata, siasatan mendapati, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan milik keluarganya itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau selain turut positif dadah jenis Methamphetamine.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek yang baharu dua bulan bergiat secara aktif dalam pengedaran dadah itu dipercayai mendapatkan bekalan terlarang itu dari Kelantan untuk diedarkan di sekitar Kuantan.

“Suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 22 Mac lalu dan akan disambung reman sehingga dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Dengan tangkapan ini pihak polis telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya