KUALA LUMPUR: Undang-Undang khas bagi memberikan Suruhanjaya Kanak-Kanak menjadi badan bebas dijangka dibentangkan tahun ini untuk memastikan kesejahteraan semua kanak-kanak di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan Madani berpendapat ada keperluan undang-undang itu dibentangkan susulan jumlah kanak-kanak di Malaysia kini mencapai hampir 30 peratus daripada penduduk negara.
‘’Visi saya untuk memastikan setiap kanak-kanak tahu bahawa ada organisasi yang akan melindungi mereka. Jadi saya harap pesuruhjaya kanak-kanak akan mencari jalan kreatif untuk mendekati kanak-kanak.
“Antara yang saya kenal pasti sebagai cabaran dalam bidang tugas saya juga adalah kes-kes mahkamah untuk kanak-kanak yang mengambil masa yang panjang dan juga ahli keluarga yang sorokkan kesalahan-kesalahan pemangsa itu untuk sebab-sebab tertentu,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.
Jabatan Perangkaan Malaysia mengesahkan bahawa jumlah kanak-kanak di Malaysia bagi tahun 2020 adalah sebanyak 9.3 juta atau peratusannya sebanyak 28.4 peratus.
Daripada jumlah itu, 49.9 peratus adalah kanak-kanak lelaki manakala 51.1 peratus adalah kanak-kanak perempuan.
Kata Azalina, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak juga akan dipinda sebagai ruang untuk memperbaiki dan perhebatkan akta itu atas tujuan melindungi kanak-kanak.
AGAMA
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, tindakan beberapa kumpulan ekstremis mengaitkan agama dengan isu kanak-kanak juga amat mengecewakan.
“Kita juga akan pinda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2023 yang kali terakhir dipinda pada 2017,” ata beliau.
Selain itu, Azlina berkata, kerajaan juga berharap hal ehwal hak kanak-kanak akan mendapat perhatian semua pihak termasuk jiran dan guru bagi memberi kefahaman berhubun isu golongan tersebut.
“Semua pihak perlu terlibat, ini bukan sekadar kanak-kanak itu perlu tahu hak mereka tetapi ini juga adalah bagi memastikan semua kanak-kanak itu dapat perlindungan yang mereka layak,” kata beliau.
Sehubungan itu, kata beliau, di bawah kerajaan Madani diharapkan isu kanak-kanak di negara ini mendapat perhatian sewajarnya kerana mereka adalah generasi pelapis.
“Sebagai permulaan, kita mahu mulakan dengan ada undnag-undang khas untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang isu.
“Masalah kanak-kanak tidak boleh diremehkan kerana mereka adalah aset kepada masa depan negara,” kata beliau. – UTUSAN










