Warga emas pertama kali bawa bot sejauh 248 kilometer - Utusan Malaysia

Warga emas pertama kali bawa bot sejauh 248 kilometer

SEBANYAK 250 buah bot laju dari daerah Bera, Temerloh, Maran, Jerantut dan Pekan menyertai program Konvoi Bot Laju Pahang yang julung kali diadakan berakhir di Jeti Riverfront Pekan di Pekan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Selama lebih 20 tahun terlibat dengan aktiviti bot laju, ini merupakan kali pertama seorang warga emas membawa bot sejauh 248 kilometer dari Temerloh menuju ke Pekan.

Warga emas terbabit, Abdul Wahab Mohd. Tahar, 66, berkata, ini juga merupakan pengalaman pertamanya menyertai program konvoi bot laju sepanjang memiliki hobi terbabit.

Katanya, sebelum ini dia hanya terlibat dengan aktiviti lumba bot laju salain aktiviti santai konvoi bot ke daerah-daerah berhampiran.

“Ini kali pertama saya bawa sendiri bot saya meredah Sungai Pahang sepanjang 248 kilometer bermula dari Temerloh menuju ke Chenor, Maran, Penjing, Paloh Hinai, Temai Hulu dan berakhir di Jeti Riverfront Pekan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Program Konvoi Bot Laju Pahang ke Pekan yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib di sini hari ini.

Sebanyak 250 buah bot menyertai program itu membabitkan 216 buah dari Temerloh, Maran, Jerantut dan Bera manakala 34 buah dari Pekan.

Mengulas cabaran dihadapi selama lima jam pemanduan dari Temerloh ke Temai Hulu, Abdul Wahab berkata, antara perkara yang tidak dapat dilupakan apabila terpaksa berhadapan dengan rintangan ombak besar ketika tiba di Paloh Hinai.

“Apabila sampai ke Paloh Hinai, kami berdepan rintangan angin ombak tinggi yang tidak pernah saya alami sebelum ini. Saya bertindak mengawal bot dengan baik dan berhati-hati. Mujur tiada kemalangan yang tidak diingini berlaku sepanjang konvoi ini,” katanya memberitahu konvoi tersebut turut disertai kesemua tujuh anak lelakinya.

ABDUL WAHAB MOHD. TAHAR

Pengerusi Team Formula Future Power Bot Temerloh, Mohammad Khalil Abdul Wahab, 38, berkata, konvoi sedemikian wajar dianjurkan setiap tahun bagi menarik pengunjung dalam dan luar untuk menyertainya sekali gus melawat negeri ini.

“Kalau ikutkan ramai dalam kalangan kita mempunyai bot sendiri, termasuk bot nelayan sungai yang boleh digunakan untuk aktiviti bot laju ini. Jadi, kita harap aktiviti ini (konvoi bot laju) dapat dibawa masuk dalam kalender melawat Pahang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nizar dalam ucapannya berkata, program julung kali diadakan itu wajar dijadikan sebagai salah satu aktiviti yang perlu dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri ini.

Katanya, konvoi itu membuka peluang kepada peniaga-peniaga di sekitar lokasi program yang diadakan menjana pendapatan dengan lebih baik di samping memperkenalkan lokasi persinggahan konvoi terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya