Pahang bina ladang betari 607 hektar di Pekan

Pahang bina ladang betari 607 hektar di Pekan

MOHAMAD Nizar Mohamad Najib (tengah) ketika Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Projek Usahasama Pembangunan Ladang Penanaman Sorgum dan Loji Pemprosesan di Hotel De Palma, Ampang. – UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Pahang bakal memperoleh ladang betari (sorghum) berkeluasan kira-kira 607 hektar di Pahang sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutama penternak sebagai alternatif makanan ternakan mereka.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, projek bernilai RM100 juta itu bukan sahaja merupakan satu pelaburan besar tetapi turut merupakan langkah penting dalam agenda kemajuan ekonomi negeri.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan pembangunan ladang betari dan fasiliti pemprosesan di kawasan Pekan serta akan dilaksanakan secara berstruktur dan berteknologi tinggi melalui pendekatan profesional serta lestari.

“Tanaman sorghum merupakan antara tanaman bijirin komersial yang berpotensi tinggi, bukan sahaja untuk kegunaan makanan manusia tetapi juga industri makanan ternakan. 

“Tanaman ini mempunyai nilai tambah kesihatan dan permintaan pasaran global yang semakin berkembang.

“Keupayaan sorghum untuk menghasilkan tuaian sebanyak tiga kali setahun dari satu pokok menunjukkan potensi produktiviti yang signifikan. Ditambah dengan kesesuaian keadaan tanah dan iklim di kawasan yang dicadangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Projek Usahasama Pembangunan Ladang Penanaman Sorghum dan Loji Pemprosesan  di sini hari ini.

Dari segi produktiviti, Mohamad Nizar berkata, anggaran hasil tuai segar adalah sebanyak 14.7 tan metrik per hektar sebulan manakala pengeluaran makanan ternakan pula sekitar 10.29 tan.

Jelasnya, prestasi itu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi Pahang terutama sektor agromakanan.

“Kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan projek dengan pendekatan pembangunan yang lestari dan mesra alam, termasuk penggunaan teknologi moden bagi mengoptimumkan hasil serta memastikan kelestarian sumber alam.

“Syarikat juga sudah menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penghasilan benih berkualiti tinggi, sekali gus memastikan projek ini berdaya saing dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×