Sorok dalam BMW, lelaki Malaysia gagal lolos Thailand - Utusan Malaysia

Sorok dalam BMW, lelaki Malaysia gagal lolos Thailand

DUA rakyat Malaysia ditahan dalam operasi Polis Imigresen Daerah Sadao di Pusat Pemeriksaan Imigresen di Danok, Thailand semalam. - IHSAN IMIGRESEN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGKHLA (THAILAND): Taktik seorang lelaki warga Malaysia berusia 52 tahun bersembunyi dengan berbaring di tempat duduk belakang sebuah kereta jenis BMW gagal selepas ditahan Pusat Pemeriksaan Imigresen Daerah Sadao, di sini, semalam.

Lelaki berkenaan yang dipercayai memasuki Thailand secara haram beberapa hari lalu ditahan bersama seorang lagi lelaki warga Malaysia berusia 66 tahun yang memandu kereta mewah itu semasa cuba keluar dari negara berkenaan kira-kira pukul 2 petang Khamis.

Jurucakap Polis Imigresen Wilayah 6, Kolonel Charoenpong Khantiloh berkata, penahanan itu dilakukan selepas anggota bertugas mengesan sebuah kereta BMW bernombor pendaftaran Malaysia melalui lorong pemeriksaan kenderaan untuk berlepas dari Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki sedang bersembunyi sambil berbaring di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

“Dalam soal siasat, lelaki berusia 52 tahun itu mengaku memasuki Thailand beberapa hari lalu secara haram melalui lintasan sempadan tidak rasmi tanpa melalui prosedur imigresen.

“Dia mendakwa mempunyai masalah undang-undang berkaitan cukai di Malaysia sebelum melarikan diri ke Thailand bagi mengelak ditangkap dan menetap di kawasan Danok, Daerah Sadao,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Charoenpong memberitahu, lelaki berusia 66 tahun yang memandu BMW itu merupakan pekerja kepada lelaki berkenaan.

Katanya, pemandu terbabit membantu majikannya pulang ke Malaysia dengan menggunakan laluan pemeriksaan kenderaan bagi mengelak pemeriksaan rasmi imigresen.

“Bagaimanapun, tindakan mereka gagal apabila dikesan anggota bertugas sebelum kedua-duanya ditahan,” ujarnya.

Charoenpong berkata, pemandu kereta itu akan didakwa atas kesalahan membawa atau mengangkut warga asing serta membantu menyembunyikannya mengikut Seksyen 63 dan 64 Akta Imigresen B.E. 2522 (1979).

“Majikannya pula akan dituduh atas kesalahan memasuki dan menetap di Thailand tanpa kebenaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini