Tindakan baharu atasi isu IDME diumum minggu hadapan - Utusan Malaysia

Tindakan baharu atasi isu IDME diumum minggu hadapan

FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan akan mengumumkan tindakan baharu yang akan diambil bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh guru-guru dalam isu penggunaan sistem Pengurusan Identiti (IDME) pada minggu hadapan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sistem berkenaan ditutup sepanjang hujung minggu ini dan dalam pada waktu itu beberapa langkah akan diambil supaya ia dibaiki dengan segera.

“Saya telah arahkan untuk sistem ini ditangguhkan untuk hujung minggu ini supaya semua pihak dapat bertenang sektika. Di samping itu langkah-langkah tertentu diambil bagi memastikan sistem ini dibaiki dengan segera, saya fikir kami tidak kompromi soal sistem ini.

“Sepanjang hujung minggu ini ia akan ditangguhkan dan pada hari Isnin ini ada tindakan baharu yang akan diumumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

FADHLINA Sidek (lima dari kiri) dan Aminuddin bergambar bersama kanak-kanak prasekolah pada Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Fadhlina berkata demikian bagi mengulas gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) supaya pihak Kementerian Pendidikan menangguhkan penggunaan sistem IDME yang belum stabil sehingga didakwa menyusahkan guru-guru untuk melaksanakannya.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, IDME belum sesuai digunakan untuk guru-guru membuat pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Katanya, guru-guru mula rasa terbeban dengan sistem IDME kerana capaian trafik yang amat tinggi ekoran pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian.

IDME adalah sistem yang dibangunkan Kementerian Pendidikan bagi membolehkan warga pendidik mengakses beberapa aplikasi yang ada dengan tujuan ingin memudahkan mereka mengaksesnya melalui laman web tersebut.

Sistem IDME ini diakses secara single sign on iaitu pengaksesan tersebut adalah secara tunggal melalui laman webnya. Semua warga pendidik yang mengisi UASA dan PBD mesti melalui sistem IDME menyebabkan mereka perlu mendaftar masuk ke sistem berkenaan.

Sementara itu menurut Fadhlina, isu berkenaan sudah menjadi perhatian pihak kementerian sejak awal dan kini sedang berusaha memastikan isu-isu yang berkait rapat dengan sistem IDME dapat sentiasa ditambah baik.

“Kami juga telah ambil langkah drastik sebenarnya, di peringkat kementerian, semalam juga telah berlangsung sesi libat urus dengan guru-guru berkaitan dan melihat bagaimana dengan sistem ini harus kita tangani bersama.

“Ini isu lama pastinya antara langkah yang kami ambil juga selain libat urus adalah turun ke negeri-negeri dengan dipimpin oleh pegawai-pegawai di peringkat negeri dan daerah untuk membantu guru-guru di sekolah,” katanya.

Semalam Fadhlina menerusi kenyataan di media sosial memohon maaf dan kesal atas kesulitan dan tekanan yang terpaksa dilalui guru berhubung Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) yang tidak dapat berfungsi seperti mana yang diharapkan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.