‘Saya sedia dipanggil SPRM’ - Utusan Malaysia

‘Saya sedia dipanggil SPRM’

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, beliau sedia memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dana Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) jika diminta berbuat demikian.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau tidak ada apa-apa untuk disembunyikan berhubung dana Jana Wibawa yang turut membabitkan namanya yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Kewangan.

Katanya, beliau sentiasa bersedia untuk memberikan kete­rangan kepada SPRM.

“Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” kata­nya di akaun Facebook beliau.

Utusan Malaysia meng­hubungi Tengku Zafrul bagi mendapatkan komen lanjut namun beliau tidak menjawab panggilan dan tidak membalas kiriman mesej.

Kelmarin Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengambil keterangan Tengku Zafrul bagi membantu siasatan berhubung dana Jana Wibawa.

Ia selepas agensi berkenaan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu untuk memberi keterangan berkaitan peng­anugerahan dana Jana Wibawa kepada kontraktor berkemungkinan tidak mengikut peraturan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilaporkan turut mendakwa Jana Wibawa adalah idea Tengku Zafrul untuk membantu kontraktor bumiputera yang teruk terkesan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.Tengku Zafrul.

BORANG

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul mengesahkan beliau telah menghantar borang pencalonan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 14 Februari lalu.

Beliau berkata, antara matlamatnya secara peribadi ialah mahu membawa pembaharuan dalam parti dengan menarik minat golongan profesional bumiputera ke dalam parti yang diyakini mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap UMNO.

“Dahulu, saya pernah membantu mengasaskan beberapa pertubuhan profesional yang telah menarik ramai ahli.

“Saya percaya untuk golongan profesional memilih UMNO, antara faktor penarik adalah wujudnya peluang untuk mereka aktif dan me­nyumbang dalam parti.

“Hasrat saya adalah untuk bekerjasama dengan kepe­mimpinan UMNO dan membuktikan bahawa fokus utama UMNO adalah untuk kebaikan rakyat. Dalam realiti baharu kerjasama politik hari ini, banyak cabaran yang UMNO akan hadapi dan saya bersedia menyumbang usaha untuk membantu UMNO menghadapi cabaran-cabaran tersebut,” kata beliau menerusi aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN