PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapat pihak kontraktor yang membayar suapan kepada pihak tertentu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi tujuan mendapatkan projek.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, dapatan itu diperoleh daripada siasatan ke atas beberapa akaun milik Bersatu yang dibekukan hujung Januari lalu.
“Setakat ini kertas siasatan yang dibuka hampir selesai dan mungkin seminggu atau dua minggu akan siap,” katanya.
Menurutnya, beberapa kertas siasatan dibuka, ada yang sudah lengkap dan dalam perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya.
“Pegawai penyiasat dan Timbalan Pendakwa Raya akan muktamadkan dan putuskan sama ada terdapat kes atau tiada kes.
“Jadi, kerja SPRM jalankan siasatan dan difahamkan ada beberapa yang dikenal pasti dan bukannya semua daripada jumlah RM300 juta itu. Dana yang diperoleh parti itu digunakan untuk kempen pilihan raya,” katanya.
Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat memberitahu Utuberhubung penglibatan Presiden parti terbabit serta pembabitan parti lain.
“Jumlah nama yang terlibat juga akan dimuktamadkan secepat mungkin, kita akan tahu sama ada terdapat kes untuk dituduh, tiada kes atau akan dikenakan tindakan lain-lain.
“Yang menjadi isu ketika ini adalah jumlah sebanyak RM300 juta yang masuk ke akaun Bersatu dan itu yang disiasat,” kata beliau.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM membeku akaun Bersatu untuk disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – UTUSAN










