Di mana peruntukan ruminan negara? - Utusan Malaysia

Di mana peruntukan ruminan negara?

Penternak ruminan tertanya-tanya apa dasar kerajaan dalam membangun sektor ruminan susulan tiada peruntukan kepada sektor tersebut selepas tahun 2016.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Melihat kepada nilai import daging sebanyak RM4.2 bilion pada tahun 2021, timbul tanda tanya, tiada lagikah program pembangunan ruminan secara besar-besaran untuk membantu penternak menghasilkan daging tempatan seperti kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2006.

Sebelum ini, setiap kali belanjawan, kerajaan memperuntukkan sekitar RM30 hingga RM50 juta setahun untuk sektor ruminan bagi memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada import daging.

Namun selepas tahun 2006 sehingga Belanjawan 2023 yang dibentang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiada perincian daripada bajet RM5.32 bilion dikhususkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk membangunkan industri ruminan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Nordin Mat berkata, perkembangan tersebut dikhuatiri akan menyebabkan negara berterusan tidak dapat menampung keperluan daging dalam negara.

“Jika situasi sebegini berterusan akan menyebabkan negara terpaksa terus bergantung kepada import untuk menampung keperluan bahan makanan itu sekali gus tidak berupaya mencapai status sara diri (SSL) daging lembu yang pada ketika ini pada kadar sekitar 22.3 peratus,” kata beliau.

INSENTIF

Mengikut rekod, walaupun pelbagai dasar dan insentif dilaksanakan kerajaan, Malaysia hanya mengeluarkan 23 peratus daging lembu manakala pengeluaran daging kambing hanya 11 peratus pada 2020.

Susulan itu, data MAFS sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menunjukkan kerajaan terpaksa terus mengimport daging yang semuanya berjumlah RM4.2 bilion pada tahun 2021 bagi memenuhi keperluan dalam ne­gara.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, program pembangunan ruminan secara besar-besaran untuk membantu penternak sudah tidak dilaksanakan dengan kali terakhir diinisiatifkan pada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006.

Kata beliau, pada ketika itu, bajet yang diperuntukkan untuk industri ruminan sekitar RM30 hingga RM50 juta namun ketika ini tiada lagi perincian untuk sektor berkenaan.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun kebelakangan ini, tidak ada bajet signifikan untuk pembangunan ruminan.

“Pemain industri ruminan gelisah sehingga Bajet 2023 untuk MAFS yang berjumlah RM5.32 bilion juga tidak nampak peruntukan khusus bagi pembangunan ruminan negara.

“Sedangkan kerajaan boleh menyediakan peruntukan berbilion ringgit untuk membeli peralatan senjata penyediaan berperang, padahal kita sebenarnya sedang berperang dengan krisis makanan negara, tetapi tiada peruntukan signifikan,” katanya.

DIBENTANGKAN

Mengikut peruntukan Bajet 2023 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu, MAFS menerima peruntukan sebanyak RM5.32 bilion meliputi sebanyak RM3.78 bilion bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) dan sebanyak RM1.54 bilion perbelanjaan pembangunan (DE).

Bagaimanapun, fokus MAFS bagi Belanjawan 2023 diterjemahkan melalui lima inisiatif utama dan 14 inisiatif lain tetapi tidak langsung dirancang bagi industri ruminan.

Kelmarin akhbar ini elaporkan keluhan penternak Agropreneur muda ternakan ruminan, Muhamad Abbas Gulam Manaver yang memohon campur tangan Menteri MAFS, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana mendakwa dirinya tidak berkesudahan diperdaya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan menafikan kemudahan dan insentif yang disediakan kerajaan.

Nordin seterusnya mengakui ramai lagi penternak mengalami nasib serupa dengan Muhammad Abbas.

Malah, beliau berkata, Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (DAIRY PLAN 2021-2025) yang dilancarkan Julai 2021 masih tidak nampak perkembangannya yang bertujuan menumpukan pelbagai inisiatif dan insentif bagi membangunkan industri ruminan negara.

Menerusi pelan berkenaan, ia dikatakan mampu membangunkan industri pedaging dan tenusu melalui pendekatan sistem penternakan yang lebih efisien, meningkatkan kapasiti pengeluaran, pengekalan kos pengeluaran yang optimum serta memperkukuh pengurusan di sepanjang rantaian nilai.

Kata Nordin, dengan adanya pelan berkenaan ia dapat meningkatkan sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan dalam tempoh lima tahun.

“Adakah kita mampu mencapai sasaran sebanyak 111,000 tan metrik daging dan 20 juta liter susu segar dapat dicapai dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi mencapai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang 2025,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×