KOTA KINABALU: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) tidak perlu mendesak Presiden parti, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menunjukkan bukti mereka menerima tawaran wang jutaan ringgit.
Malah, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengenai isu jual beli ADUN berkenaan.
Beliau membuat penegasan demikian susulan penafian ADUN Kunak, Norazlinah Arif bahawa menerima RM3 juta sebelum keluar Warisan.
Norazlinah menjelaskan, peruntukan RM3 juta itu adalah peruntukan kepada ADUN seperti yang diumumkan dalam Bajet Negeri 2023 bagi melaksana projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing.
Mohd. Azis berkata, Warisan telah membuat laporan polis dan seterusnya akan membuat laporan kepada SPRM mengenai tawaran wang ringgit yang diterima bekas tiga ADUN parti berkenaan.
“Benar tiada bukti rakaman video dia (Norazlinah) terima wang sebab tiada ejen yang mahu video mereka dirakam semasa memberi wang. Tapi, seperti saya katakan sebelum ini, budaya membeli wakil rakyat dan lompat parti di Sabah bukan lagi satu rahsia.
MELOMPAT
“Norazlinah boleh menafikan sepuas-puasnya namun video yang dia buat sendiri beberapa bulan sebelum dia melompat cukup untuk membuktikan wujud cubaan membeli ADUN Warisan.
“Jadi biarlah SPRM jalankan siasatan, jika benar mereka dibebani hutang sebelum melompat parti, bagaimana keadaan kewangan mereka selepas keluar Warisan.
“Mereka boleh membohongi rakyat dengan menafikan sebab mereka melompat namun, Allah SWT Maha mengetahui,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, sebelum tiga ADUN iaitu Norazlinah, Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) keluar Warisan, beberapa siri perjumpaan dengan Presiden Warisan dilakukan.
Dalam pertemuan itu, bekas ADUN Warisan itu mengakui telah dihubungi serta ditawarkan jawatan dan wang ringgit untuk keluar Warisan.
Mohd. Azis berkata, tawaran terhadap ADUN Warisan itu bukanlah satu berita baharu, sejak zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri lagi, Setiausaha Agung, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin kerap datang ke Sabah.
“Wakil-wakil rakyat yang masih dalam Warisan boleh mengesahkan kewujudan ejen-ejen membeli wakil rakyat pada masa itu.- UTUSAN










