GAZIANTEP, Turkiye: “Tubuh badan seakan berpusing sewaktu gegaran. “
Itu detik cemas dialami seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian gempa bumi susulan berukuran 6.4 skala Richter kelmarin.
Menceritakan kembali kejadian , Abdul Aziz Naddaf, 70, berkata, dia sedang berbaring dan beristirehat di rumahnya.
Menurutnya, sejurus merasai gegaran gempa bumi, dia kemudiannya terus mencari keluarga dan bergegas keluar mencari tempat yang lebih selamat.
“Saya terus pergi ke tempat lapang. Mujurlah rumah kami tidaklah mengalami kerosakan teruk atau hancur menyembah bumi sebagaimana mangsa lain.
“Sehingga kini pun saya masih menggunakan rumah tersebut untuk mandi, solat atau berehat sebentar walaupun telah diberikan khemah sementara. Saya juga tahu rumah itu boleh menyembah bumi pada bila-bila masa seandainya berlaku lagi gegaran kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Abdul Aziz, walaupun gempa susulan yang berlaku tidak sekuat sebelum ini, rata-rata mangsa masih trauma dan cemas.
Abdul Aziz berkata, dia kini pasrah dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah SWT selepas ini.
Malah, dia juga bersedia berdepan bencana berganda yang boleh berlaku bila-bila masa.
“Saya tidak tahu apa lagi akan berlaku selepas ini.Malah saya juga tidak tahu berapa banyak lagi gempa bumi yang akan berlaku lagi nanti.
“Semuanya terserah kepada Allah SWT. Kami pasrah,” jelasnya.
Dalam pada itu, salah seorang penghuni khemah sementara Nur Mar’ie berkata, dia lebih bersedia berdepan bencana berganda untuk tempoh akan datang.
Dia yang sedang hamil berharap lebih banyak pihak sudi menghulurkan bantuan untuk mangsa-mangsa yang mempunyai bayi terutama wanita-wanita berbadan dua sepertinya. – UTUSAN










