Dua juta cari kerja - Utusan Malaysia

Dua juta cari kerja

Portal MYfutureJobs menawar banyak kerja tetapi kerja-kerja sebagai tukang cuci, pelayan restoran atau di stesen-stesen minyak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir 2 juta pencari kerja menggunakan platform pekerjaan negara, MYfutureJobs dari 2020 hingga 10 Februari lalu namun yang berjaya mendapat kerja dalam tempoh itu cuma 776,742 orang.

Daripada 776,742 tersebut, 251,815 membabitkan pemohon dalam kalangan belia atau graduan universiti. Kerja-kerja yang ditawarkan dalam portal tersebut termasuk kerja-kerja di stesen minyak, jurujual pasar raya, pelayan di restoran dan tukang cuci.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, MYfutureJobs adalah inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diuruskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Bagaimanapun, menurut beliau, pada masa ini hanya terdapat 184,228 kekosongan jawatan aktif semasa iaitu jawatan yang sedia menerima pekerja berbanding jawatan kosong yang diiklankan sehingga 8.3 juta.

PEMOHON

“Terdapat sembilan kategori pekerjaan yang ditawarkan kepada pemohon iaitu pengurus, profesional, juruteknik dan profesional bersekutu, pekerja sokongan perkeranian dan pekerja perkhidmatan dan jualan.

“Selain itu ialah pekerja kemahiran pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan, pekerja kemahiran dan pekerja pertukangan yang berkaitan, operator mesin dan loji dan pemasang serta pekerja asas,” kata beliau semalam.

Mohammed Azman turut memaklumkan sepanjang tempoh tiga tahun ini, sejumlah 208,178 orang hilang pekerjaan yang kebanyakannya akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 terutama pada tahun 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, kata beliau, dengan adanya Perkeso melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan ditambah dengan inisiatif lain seperti program bantuan kewangan seperti Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan, kadar kehilangan pekerjaan di negara ini dapat dikawal daripada menjadi lebih buruk seperti negara-negara lain.

Mengulas mengenai ramai yang menganggur, Mohammed Azman berkata, faktor pencari kerja gagal mendapat pekerjaan banyak dipengaruhi faktor kemahiran dimiliki pemohon tidak sepadan dengan tawaran pekerjaan yang dikehendaki majikan.

“Contoh pencari kerja tidak dapat memenuhi keperluan industri yang memerlukan seseorang yang mahir atau memiliki kepakaran di kilang-kilang.

BIDANG

“Kelulusan pencari kerja juga tidak sepadan dengan jenis bidang dalam industri yang memerlukan pekerja untuk memiliki set kemahiran tertentu.

“Faktor lokasi syarikat, gaji yang ditawarkan, jenis pekerjaan yang diiklankan serta bidang pengkhususan pencari kerja juga menjadi punca ketidakpadanan pencari kerja dengan kekosongan jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, portal MYFutureJobs terbuka kepada semua yang mencari kerja manakala majikan yang berdaftar dengan Perkeso pula boleh menggunakan platform ini yang disesuaikan dengan konteks Malaysia.

Kata beliau, portal MYfutureJobs memiliki teknologi canggih dengan ciri Kecerdasan Buatan (AI) dan Skill Based Matching untuk mendapatkan padanan pekerjaan lebih tepat berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman, kemahiran dan kompetensi pencari kerja dengan keperluan majikan.

Beliau memberitahu, perkhidmatan portal MYFutureJobs adalah satu sistem komprehensif dan efisien sebagai pusat sehenti kepada pencari kerja serta mendapatkan maklumat tentang insentif dan inisiatif disediakan kerajaan.

“Pencari kerja meliputi para penganggur, graduan, golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU) dan pekerja sedia ada atau profesional yang ingin meneroka peluang peningkatan kerjaya.

MAJIKAN

“Pada masa sama ia juga bermanfaat kepada majikan yang tidak perlu bersusah payah mencari pekerja yang sesuai kerana Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso adalah terlatih dan berpengalaman dalam memberi akses kepada kumpulan bakat untuk majikan memudahkan proses pengambilan pekerja.

“Turut dibina dalam fungsi portal MYFutureJobs ialah infrastruktur pasaran buruh semasa yang menyediakan maklumat tentang keperluan industri serta profil tenaga kerja semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, dengan mengenal pasti jurang kemahiran dalam kalangan pencari kerja dan permintaan industri, kerajaan dan pembuat dasar dapat merancang serta melaksanakan polisi dan strategi lebih berkesan pada masa depan.

Langkah ini, katanya, amat penting bagi menyelesaikan isu sedia ada di negara ini secara objektif seperti masalah ketidaksepadanan pekerjaan (job mismatch) dan pekerjaan di bawah kelayakan sebenar (underemployment).

Kata beliau, pencari kerja boleh memperoleh maklumat analisis jurang bagi kemahiran sedia ada, dan Perkeso akan memainkan peranan dalam menyediakan khidmat kaunseling kerjaya bagi mengesyorkan inisiatif terbaik mengisi jurang tersebut menerusi latihan upskilling atau reskilling kepada pencari kerja.

“Seiring dengan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat, Perkeso menganjurkan lebih 40 Karnival Kerjaya di peringkat negeri dan hampir 3,000 program temu duga terbuka di pejabat-pejabat Perkeso, pusat-pusat Satelit MYFutureJobs dan premis kolej serta universiti di seluruh negara sepanjang tahun ini.

LOKASI

Dalam waktu terdekat, Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah diadakan di Batu Gajah pada 25 dan 26 Februari ini dan di beberapa lokasi di Sabah, Keningau (18 Februari); Tawau (19 Februari); Semporna (20 Februari); Sandakan (21 Februari) dan ILP Sepanggar, Kota Kinabalu (25 Februari). Pencari kerja boleh mendaftar di pautan https://bit.ly/PraJerayawaraSuri.

Bagi majikan yang berminat untuk turut serta dalam mana-mana karnival kerjaya anjuran Perkeso, mereka boleh hubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso di talian 03 – 8091 5300 selain dinasihatkan mengiklankan jawatan kosong di Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN