PETALING JAYA: “Sebagai bapa, apa daya saya? Terpulang kepada tuan punya badan (Syamsul).” Demikian luahan pengarah dan penerbit prolifik, Datuk Yusof Haslam dalam nada tertahan.
Sebak ketika mengulas mengenai kemelut rumah tangga anaknya, Syamsul dan Puteri Sarah Liyana, Yusof, 68, berkata, sedapat mungkin dia tidak mahu kenyataannya menambahkan lagi kekeruhan yang berlaku.
Katanya, polemik itu sudah berlarutan selama empat tahun dan dia bimbang jika kenyataannya menyinggung perasaan mana-mana pihak, terutama selepas Sarah menerusi satu hantaran di media sosial, kelmarin meminta Syamsul supaya melepaskannya.
“Ada yang bertanya, tidak mahukah saya atur pertemuan antara kedua-dua mereka? Saya cuma jawab, tidak mahu komen.
“Saya tidak mahu sakitkan hati orang sekeliling. Takut apa yang saya cakap nanti menyinggung perasaan anak, menantu, besan dan isteri. Saya sudah tidak ada kata-kata lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Konflik rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah semakin berkecamuk apabila masing-masing berbalas kenyataan menerusi media sosial selepas pelakon itu mendakwa, suaminya telah menyekat nombornya.
Malah, Puteri Sarah menerusi Instagram turut meminta Syamsul melepaskannya kerana mendakwa, pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada dua anak mereka.
Sementara itu, Syamsul dalam kenyataan balas menerusi satu hantaran di Instagram, semalam, meminta Puteri Sarah pulang ke rumah bagi membincangkan kemelut yang melanda, termasuk permintaan untuk dilepaskan.
Menerusi hantaran sama, Syamsul juga memohon Puteri Sarah supaya tidak terus mencanangkan isu rumah tangga mereka di media sosial bagi mengelak fitnah daripada berlarutan.
“Pintu rumah sentiasa terbuka, kita hendak berpisah ataupun bersama dan kalau itu yang awak nak, baliklah ke rumah. Apa sahaja isu, lebih baik bincang di rumah.
“Ayuhlah berbincang, cukuplah… Jangan kongsikan aib rumah tangga. Saya boleh cerita pasal awak, tapi saya tidak mahu. Saya telan sahaja walaupun teruk dicaci dan dihina kerana orang luar tidak tahu hal sebenar,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung permintaan Puteri Sarah untuk berpisah, Yusof juga enggan memberi komen demi menjaga hati anak dan menantunya.
“Dua-dua saya sayang. Cukuplah, saya tidak mahu keruhkan keadaan. Isteri saya juga sedang tidak sihat, tertekan dengan masalah ini,” katanya. – UTUSAN










