Sampai bila mahu naikkan OPR? - Utusan Malaysia

Sampai bila mahu naikkan OPR?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak sepatutnya dinaikkan lagi pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini kerana ia bakal mengakibatkan lebih ramai menderita dan terbeban sehingga berdepan risiko bankrap.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, langkah itu tidak sepatutnya kerana semua pihak sama ada kerajaan, Kementerian Kewangan atau Bank Negara Malaysia (BNM) sedar rakyat sedang susah.

Menurut beliau, OPR itu seharusnya diturunkan selari dengan hasrat kerajaan yang prihatin terhadap rakyat.

“Apabila (OPR) naik, lebih ramai susah, akaun-akaun akan mula tertunggak, rumah dilelong dan berakhir dengan ramai rakyat kita akan bankrap.

“Sampai bila mahu naikkan? Kerajaan kita kerajaan prihatin, tetapi anehnya kenapa mahu terus naik? Kerajaan takkan tak sedar orang tengah susah, mustahil tak sedar.

“Semak dengan bank, lihat berapa banyak hartanah dilelong, berapa ramai orang dibankrapkan dan OPR terus naik. Apakah benda ini perlu dinaikkan? Kenapa dan siapa yang suruh?

“Kalau tidak ditangani masalah ini, lebih ramai peminjam dalam kesusahan dan lebih ramai bunuh diri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sejak beberapa hari lalu ba­nyak pihak menghebahkan OPR dijangka dinaikkan lagi mungkin sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat pertama MPC hari ini.

DINAIKKAN

Jika benar, kenaikan tersebut adalah kali kelima berturut-turut sejak dinaikkan pada Mei tahun lalu, menjadikan OPR pada 3.0 peratus berbanding 2.75 setelah dinaikkan kali terakhir pada 3 November.
Penganalisis ekonomi tidak menolak kemungkinan OPR dinaikkan lagi bagi memastikan kadar inflasi terus terkawal.

Mengulas lanjut, Rosland berkata, kerajaan sepatutnya memainkan peranan besar dengan melihat penderitaan ditanggung rakyat terutamanya berkaitan kos sara hidup yang belum ‘sembuh’.

“Isunya, jika OPR terus menaik, kerajaan, Kementerian Kewangan dan BNM mahu beri keuntungan kepada bank yang tentunya sudah kaya-raya dan sekali gus menyusahkan peminjam, adakah ini adil,” soal beliau.

Felo Kehormat Institut Masa Depan, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, kerajaan perlu memberikan bantuan atau insentif kepada pengeluar sebagai satu usaha menangani tekanan inflasi.

Menurutnya, kenaikan inflasi melambangkan kenaikan kombinasi harga barangan tertentu yang diukur Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu tempoh yang ditetapkan.

Jelasnya, ini kerana ia di­sebabkan lebihan wang di tangan pengguna yang menyaksikan lebih banyak daripada penawaran dan permintaan.

KAEDAH

Oleh itu, menurut beliau, menaikkan OPR adalah kaedah mengurangkan perbelanjaan orang ramai selain menggalakkan mereka menyimpan wang.

Bagaimanapun, dalam masa sama, kara Madeline, tindakan itu membebankan mereka yang mempunyai pinjaman kerana terpaksa membayar kadar bunga lebih tinggi.

“Kerajaan boleh mengurangkan inflasi dengan memberikan insentif kepada pengeluar supaya harga barangan berkurangan,” katanya.

Dalam pada itu, penasihat utama badan pemikir Pusat Penyelidikan Pasifik, Oh Ei Sun berpendapat, inisiatif kepada pengeluar amat penting sekiranya kerajaan mahu mencari kaedah lain dalam menghadapi kenaikan inflasi.

“Selain menaikkan OPR untuk memerangi inflasi, langkah yang lain boleh dilakukan adalah dengan memecahkan monopoli dan kartel sebagai satu usaha menambah baik bekalan bara­ngan keperluan yang mencukupi.

“Undang-undang dan dasar baharu boleh digubal untuk menggalakkan persaingan antara pembekal barangan utama, supaya harga boleh diturunkan.

“Malah, perlu juga ada inisiatif dan insentif untuk menggalakkan pengeluaran makanan tempatan dan barangan keperluan lain dan bukan mengimportnya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN