PN boleh jadi platform buat Khairy beri sumbangan kepada negara - Utusan Malaysia

PN boleh jadi platform buat Khairy beri sumbangan kepada negara

MOHAMED Azmin Ali ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Pengucapan Awam Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) membuka platform parti itu kepada ahli-ahli UMNO yang dipecat dan digantung keahlian untuk bersama-sama memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keterbukaan itu termasuklah kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dipecat serta Ahli parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang digantung selama enam tahun dari parti itu semalam.

Menurut beliau, walaupun belum ada apa-apa perbincangan untuk menarik dan menerima mereka bersama, tetapi ketiga-tiganya dilihat mempunyai kewibawaan dan senada dengan dasar diperjuangkan PN ketika ini.

“Tidak ada perbincangan, tetapi saya percaya mereka ada peranan untuk bersama-sama dengan PN bagi melakukan sesuatu yang lebih baik, mereka mempunyai pendidikan yang cukup tinggi dan boleh menyumbang untuk menggubal dasar sama ada pendidikan, ekonomi, sosioekonomi bagi membantu negara dan rakyat.

“Sudah tentu (mengalu-alukan), PN ini salah satu platform yang boleh kita bincang tetapi belum ada perbincangan dengan mereka, tetapi saya percaya sebagai sahabat, perkara ini boleh lihat peranan masing-masing untuk pastikan Malaysia terus makmur.

“Kami lawan kleptokrat, perasuah dan salah guna kuasa, mereka mempunyai matlamat yang sama, suara Khairy, Hishammuddin, Shahril Hamdan adalah senada dengan dasar PN. Saya doakan mereka sabar dan tabah dengan ujian ini,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pengucapan Awam Bersatu Negeri Sembilan di sini hari ini.

MOHAMED Azmin Ali ketika berucap merasmikan Bengkel Pengucapan Awam Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Beliau menambah, PN juga bersedia untuk menerima ahli-ahli UMNO yang dijangka ramai akan keluar dari parti itu ekoran kecewa dengan apa yang sedang berlaku.

“Kita akan bincang, tidak ada paksaan, apabila mereka menerima ideologi dan matlamat PN, kami bersedia untuk terima mereka, saya juga atas sifat peribadi ada banyak pertemuan dalam berapa minggu ini, ini terutama selepas Perhimpunan Agung UMNO.

Ramai ahli UMNO kecewa ekoran demokrasi dalam UMNO sudah mati, tidak boleh bertanding dan sebagainya, mereka sudah mula resah dan kini melihat apakah platform lain yang mereka boleh menyumbang bersama-sama untuk menyuburkan demokrasi dalam Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada isu yang sedang didepani UMNO ketika ini membuka lebih peluang buat PN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak, Mohamed Azmin tidak menolak kemungkinan berkenaan.

“Sudah pasti, tindakan pimpinan di atas tidak menggambarkan aspirasi akar umbi UMNO di bawah yang tidak boleh bersuara, apabila bersuara mereka dipecat, sebab itu saya menyeru kepada ahli-ahli UMNO, ada cara lain, gunakan kebijaksanaan sebagai pengundi untuk menyokong PN dalam PRN akan datang

“Maknanya mereka ada peranan, tidak apa, duduk dalam UMNO tetapi bantu PN dalam PRN akan datang, insya-Allah kami akan terus melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya