Pemecatan bukan alasan perpecahan

Pemecatan bukan alasan perpecahan

OTHMAN DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemecatan dan pergantungan beberapa pemim­pin UMNO bukan alasan untuk ahli-ahli parti itu berbalah serta berpecah, sebaliknya bertenang dengan keputusan yang dibuat oleh UMNO.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, ahli-ahli UMNO perlu konsisten memperjuang agenda parti dan bukannya objektif peribadi sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai kenyataan yang boleh melemahkan UMNO.

Beliau berkata, keputusan memecat dan menggantung keahlian sebahagian pemimpin bukan keputusan sebelah pihak tetapi UMNO sendiri iaitu menerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berdasarkan peraturan-peraturan dan perlembagaan parti.

“Bagi seorang ahli atau pengikut yang benar-benar setia, dia tidak akan mengambil tindakan melemahkan UMNO lagi. Bagi pemimpin-pemimpin dalam parti perlu ambil iktibar supaya perkara ini tidak diulang dan jagalah parti dengan baik.

“Saya menyeru kepada semua ahli UMNO untuk tenang, apa pun jangan kita terlibat dengan usaha yang meruntuhkan parti sebab ini adalah kes individu. Jangan ambil reaksi negatif disebabkan pemimpin itu kita suka atau sebaliknya.

“Malah, ini bukan perkara baharu. Sebelum ini timbalan-timbalan presiden UMNO pernah diambil tindakan seperti ini iaitu antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini satu proses pembersihan dalam parti jadi jangan ambil ini sebagai ‘punca’ untuk berpe­cah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu PRU-15.

Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Sementara itu, Othman menepis dakwaan bahawa proses ‘pembersihan’ dalaman UMNO akan melemahkan parti pada kemudian hari kerana baginya menyimpan pemimpin yang tidak setia lebih memudaratkan.

“UMNO dalam keadaan sekarang pun memang lemah tetapi pembersihan dalaman tetap perlu dibuat. Pada saya dakwaan (melemahkan) itu tidak betul, kenapa mereka mahu menghukum terlebih dahulu UMNO akan jadi begitu?

“Ada ahli-ahli yang menyerang parti juga adalah satu kesalahan kerana mereka boleh melemahkan parti. Terlalu awal untuk menghukum UMNO akan lemah disebabkan proses pembersihan ini. Kita kena lihat daripada sudut positif, mungkin melalui ini parti kembali kuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN